TERKINI DI

Monday, April 11, 2011

Zoo Bukit Takal tambah haiwan tarik pelancong

Pihak pengurusan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman kini sudah memiliki 248 haiwan pelbagai spesies sebagai tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung ke zoo terbesar di Pantai Timur itu.

Penolong Pegawai, Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Puan Suraida Mohd Ghazali berkata, awal tahun ini pihak zoo tersebut menerima dua ekor kuda padi, buaya tembaga (dua) dan seekor buaya jejulong.

“Kehadiran dua spesies haiwan ini dijangka dapat menarik minat orang ramai untuk mengunjungi zoo ini bersama-sama keluarga mereka,” katanya kepada Teganukita ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, zoo berkenaan yang turut menempatkan Taman Tema Air, turut memiliki dua ekor Harimau Malaya yang disumbangkan Zoo Melaka dan seekor tapir.

Zoo berkenaan yang menampilkan konsep unik dengan memulihara alam sekitar dan pelbagai jenis tanaman asal kawasan itu semaki ramai dikunjungi pelawat, khususnya pada setiap hujung minggu.

Selain itu katanya, haiwan lain yang terdapat di zoo berkenaan termasuk pelbagai spesies burung, kura-kura, beruang matahari, landak dan musang.

“Kita sentiasa membuat penyesuaian dan penambahbaikan serta cuba melengkapkan Taman Rekreasi secara berperingkat dan kalau tidak ada aral, bulan depan zoo berkenaan akan menerima beberapa ekor gajah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...