TERKINI DI

Thursday, April 21, 2011

Sekolah Agama diberi sumbangan RM53 juta

Sekolah-sekolah Menengah Agama di negeri ini menerima peruntukan RM53 juta sumbangan kerajaan negeri dan Pusat bagi memberi tambah nilai terhadap pembangunan infrastruktur , pengurusan dan program kecemerlangan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, daripada jumlah berkenaan, Kerajaan Pusat menyumbang RM32 juta dan kerajaan negeri RM21 juta.

“Sebanyak RM19 juta dibelanjakan untuk mencantikkan bangunan sekolah termasuk mengecat, membina pagar atau menambah struktur bangunan lama kepada yang baru,” katanya di majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di Batu Buruk, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pesuruhjaya Jabatan hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) (Pendidikan), Encik Jusoh Ngah; Pengetua SMAASZA, Encik Hashim Embong dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMAASZA, Haji Ruzak Mohd Nor.

Katanya, RM800,000 dibelanjakan untuk program kecemerlangan pelajar dan RM700,000 untuk melaksanakan Kem Imam Muda dan kelas Tamayus setiap tahun.

“Saya dapati pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam dan peperiksaan dalaman tahun ini amat membanggakan serta mendapat keputusan 100 peratus dalam tiga subjek iaitu Sains, Ekonomi Asas dan Pendidikan al-Quran dan Sunnah,” katanya.

YB Haji Khazan berharap pelajar sekolah aliran agama terus tingkatkan pembelajaran hingga ke universiti serta membuat pilihan tepat untuk masa depan keluarga dan negara dan jadilah seorang cendikiawan yang tinggi ilmu agamanya.

Dalam majlis itu, 43 pelajar yang mendapat 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), 40 pelajar cemerlang dalam peperiksaan I’Dadi, 32 pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tujuh pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerima penghargaan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...