TERKINI DI

Thursday, April 28, 2011

Dana RM30,000 suntik perniagaan menerusi koperasi masjid

Kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memberi dana RM30,000 kepada mana-mana koperasi kariah masjid yang ingin menjalankan perniagaan mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemberian berkenaan sebagai galakan kepada koperasi masjid mejalankan perniagaan yang bertujuan menambah dana masjid di kawasan masing-masing.

“Kita akan lihat dulu bentuk perniagaan yang ingin dilaksanakan oleh koperasi berkenaan, jika berdaya maju, kita akan beri dana yang dijanjikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Negeri Terengganu, di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Sri Ismail berkata, selepas ini pihak SKM akan ke masjid-masjid untuk memberi penerangan kepada koperasi kariah bagaimana kaedah memulakan dan menguruskan satu-satu perniagaan yang akan dilaksanakan.

“Bermula dengan mengadakan mesyuarat, pemilihan jawatankuasa koperasi dan seterusnya merangka aktiviti berbentuk komersial yang akan dibantu oleh pegawai SKM,” katanya.

Beliau turut memuji langkah bijak kerajaan negeri yang mengambil inisiatif menghimpunkan lebih 1,200 kariah masjid dari 489 buah masjid seluruh negeri untuk menyertai seminar anjuran Angkasa, SKM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ini.

“Terengganu negeri pertama di negara ini yang berjaya mengumpulkan begitu ramai kariah masjid dari pelbagai peringkat umur dan saya yakin melaluinya banyak kegiatan ekonomi dapat dijalankan nanti,” katanya.

Katanya, menerusi penguasaan dan kekuatan ekonomi akan menarik minat masyarakat lain kepada ajaran Islam, bahkan penyusunan ekonomi mengikut Islam sepatutnya menghasilkan masyarakat yang adil dan penuh kasih sayang serta mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...