TERKINI DI

Monday, April 4, 2011

Pendekatan Tfm selaras hasrat kerajaan

Pendekatan Radio Malaysia Terengganufm (Tfm), mengadakan program-program di lokasi awam ternyata selaras dengan hasrat kerajaan negeri mendekati rakyat menerusi pelbagai aktiviti.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, usaha Tfm turun padang menjayakan program radio di lokasi mendapat sambutan menggalakkan di kalangan masyarakat.

“Kerajaan berterima kasih kepada Tfm kerana melalui program yang diadakan membabitkan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya di majlis sambutan Hari RTM Ke-65 serta Tfm Bersama Pendengar dan Penaja di Auditorium Terengganufm petang semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Program Radio Malaysia, Haji Mohamad Mat Husin; Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu, Dr Nawiyah Che Lah dan Pengurus Besar, Telekom Malaysia Berhad, Encik Badrul Hisham Bahari.

YB Haji Khazan berkata, kerajaan turut menghargai usaha Tfm yang sentiasa memainkan peranan penting dalam pembangunan rakyat di negeri ini.

“Antara program berkenaan termasuk tadarus al-Quran, suara kampus, rentak remaja dan Terengganu indah yang turut memperkenalkan tempat-tempat menarik dan produk keluaran rakyat tempatan,” katanya yang turut melancarkan buku koleksi pantun Guana Gamok Orang Kita (GGOK) dan wajah baru van Tfm.

Begitu juga dengan koleksi buku GGOK yang memuatkan pantun-pantun dari pendengar, dikumpul dan dibukukan menerusi rancangan mari berpantun yang ke udara setiap Jumaat.

“Pendekatan ini secara tidak langsung dapat mempopularkan budaya berpantun kalangan masyarakat terutama golongan muda yang hampir lupa pada kesenian budaya bangsa Melayu,” katanya.

YB Haji Khazan juga melahirkan keyakinan, apa yang disalurkan melalui Tfm adalah untuk menyampaikan maklumat dan isu semasa kepada rakyat di samping hiburan yang berkualiti dan berinformasi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...