TERKINI DI

Monday, February 28, 2011

Tiga Strategi Tingkat Ekonomi Pekebun Kecil

Oleh: Esah Abdullah



Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menggariskan tiga strategi untuk pembangunan ekonomi pekebun kecil iaitu meningkatkan produktiviti, menyusun semula gerakan Koperasi Pekebun Kecil (KPK) dan memperkasakan Kelab Usahawan Pekebun Kecil (KUPK).

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) Risda, Dato’ Wan Mohd Zuki Mohamad berkata, di samping kerja-kerja menoreh pekebun juga boleh terlibat dalam pembekalan benih dan baja untuk keperluan pekebun lain serta mencuba bidang pemasaran dan pemerosesan getah .

“KPK akan disusun semula supaya pekebun getah lebih efisien dan berdaya saing,” katanya di majlis Pelancaran dan Penyampaian Geran Kelab Usahawan Risda (Risec) di Akademik Bomba dan Penyelamat Malaysia wakaf Tapai, Marang, Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pengarah Risda Terengganu, Haji Zakaria Mat Zin; Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan, Hajah Zainabon Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Risda, Datin Faridah Hanam Abdul Rashid.

KPK juga katanya, akan diperkasa dengan penglibatan dalam aktiviti niaga sebagai ‘wakil kuasa’ untuk melaksana Program Tanam Semula bagi ahli-ahli dan menjadi wahana yang berkesan untuk meningkatkan sistem penyampaian Risda.

“Koperasi ini boleh muncul sebagai kontraktor pembangunan, penyenggaraan, penghasilan kebun, pengendali semaian transit, pengendali pengangkutan benih, pengusaha depo dan agen pengurusan kebun dimana hanya KPK sahaja diberi lesen membeli dan menjual getah,” katanya.

Selain itu katanya, Risda sedang berusaha ke arah memperkasakan KUPK untuk melahir lebih ramai usahawan kalangan pekebun kecil dan mensasarkan 10,000 usahawan menjelang 2015.

Katanya, melalui Institusi Kemajuan Pekebun Kecil (IKPK) latihan teknikal, pengurusan ladang, kemahiran dan keusahawanan ditingkatkan untuk memberi ilmu pengetahuan, ketrampilan , kredibiliti dan potensi kepada mereka.

“Risda sentiasa mengambil usaha berterusan untuk membuka mata dan pemikiran terhadap dunia keusahawanan sebagai langkah meningkatkan pendapatan pekebun kecil, “ katanya.





Kelab Usahawan Setiap Negeri

Oleh; Esah Abdullah

Satu kelab satu negeri merupakan impian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) hampir mencapai matlamat bila sembilan negeri sudah melancarkan Kelab Usahawan Risda (KUR) setakat ini.

“Satu Majlis Perundingan Usahawan dan KUR Kebangsaan telah diwujudkan pada akhir tahun lalu untuk menyatu dan menyelaras aktiviti usahawan serta memberi mereka ruang untuk saling berinteraksi,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat), Dato’ Wan Mohd. Zaki Mohamad.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti akan dianjurkan seperti program Pembudayaan Usahawan, Tambah Nilai Produk, Pemasaran dan Promosi serta Integrasi Usahawan dalam usaha melahirkan usahawan berjaya dalam pasaran global.

“Risda juga menyediakan peluang untuk pekebun kecil terlibat secara langsung dan aktif dalam aktiviti huluan dan hiliran industri getah contohnya teknologi maklumat dengan aplikasi system e-usahawan yang sedang dibangunkan oleh Risda,” katanya.

Katanya, bantuan modal turut disediakan di bawah program ekonomi tambahan dan pinjaman di bawah Tabung Pembangunan Sosio-Ekonomi Pekebun Kecil (TPSPK).

“Tahun ini Risda memperuntukkan RM4.4 juta di bawah program pembangunan usahawan untuk melaksanakan aktiviti seperti seminar, klinik, kursus, promosi dan pemasaran,” kata Dato’ Wan Mohd Zaki dalam sidang media selepas melancarkan KUR Terengganu, di Akademik Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang hari ini.

Katanya, mengikut kajian purata umur pekebun kecil berusia dalam lingkungan 60 tahun, masih kuat dan produktif namun barisan pelapis generasi muda diperlukan untuk meneruskan perjuangan dalam industri getah.





Sunday, February 27, 2011

Sambutan Maulidul Rasul Pupuk Perpaduan

Oleh: Esah Abdullah

Perarakan sejauh tiga kilometer oleh 500 penduduk dari tujuh kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mewakili empat generasi, veteran, pemuda, wanita dan kanak-kanak berlangsung dalam suasana penuh muhibah.

“Kesepakatan, perpaduan dan semangat masih utuh melingkari kehidupan penduduk di sini dalam menyambut hari bersejarah dalam kalendar Islam,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Mohammad Ramli Noh.

Beliaui yang mengepalai kumpulan berselawat ke atas Rasullullah s.a.w bermula dari masjid Kampung Tepoh hingga ke masjid Kampung Pagar Ubi sejauh tiga kilometer.

Tujuh kampung iaitu Kampung Padang Hangus, Tokeng, Kampung Baru, Tepoh, Pondok Lalang, Pagar Ubi dan Kampung Raja sepakat mengadakan sambutan Maulidur Rasul ini secara bergilir-gilir bila tiba bulan Rabiul Awal.

Majlis sambutan diselit dengan ceramah agama oleh penceramah bebas, Ustaz Abdul Rashid Long yang mengupas kebesaran dan keluhuran sifat Nabi Muhammad yang perlu dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam.

“Contohi peribadi Rasullullah yang mulia, sentiasa merendah diri serta menghormati golongan lain yang tidak sealiran dengan agama Islam,” katanya.


TEGANUKITA


Sehari Tanpa Beg Plastik

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Semua pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negeri melalui kempen sehari tanpa beg plastik yang dilaksanakan setiap Sabtu iaitu empat kali sebulan

Orang ramai yang ingin berkunjung ke pasar raya di negeri ini diingatkan supaya membawa beg sendiri bertujuan bagi mengisi barangan yang diibeli kerana mulai Januari lalu semua premis berkenaan tidak lagi menyediakan beg plastik percuma untuk pelanggannya.

Penguatkuasaan ini diselaraskan di semua pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negeri melalui kempen sehari tanpa beg plastik yang dilaksanakan setiap Sabtu iaitu empat kali sebulan.

“ Terdapat 13 pasar raya besar dan premis terpilih telah mengenakan caj antara 10 hingga 20 sen bagi setiap beg plastik pada kempen tanpa beg plastik setiap hari Sabtu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Moktar.



Dr. A. Rahman berkata, hasil daripada caj tersebut disimpan dalam dana khas yang akan digunakan untuk program-program kepenggunaan serta kemasyarakatan yang menjurus ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Sejak awal tahun ini katanya, sejumlah RM3,782.70 hasil jualan plastik berjaya dikumpul dan usaha ini dilihat lebih kepada mendidik orang ramai supaya tidak menggunakan langsung beg plastik.

“Kerajaan amat serius dalam hal berkaitan kesihatan rakyat dan hasil kajian, beg plastik merupakan penyumbang kepada masalah kesihatan dan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Katanya, beg plastik dapat mengeluarkan toksik yang boleh menyebabkan masalah kemandulan kepada lelaki , sakit buah pinggang dan kanser.

“Usaha melupuskan bahan tersebut mengambil masa lama iaitu 500 tahun untuk reput, sehubungan itu penggunaannya perlu dikurangkan atau dihapus terus kerana ia menimbulkan banyak kesan negatif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Selain itu katanya, kajian juga menunjukkan 100,000 hidupan marin mati setiap tahun akibat termakan benda asing yang diperbuat daripada plastik atau pencemaran laut yang berpunca daripada pembuangan plastik.

TEGANUKITA

Saturday, February 26, 2011

Jabatan Pertanian belanja RM1.81 juta di bawah PPIK.

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Encik Md Yusof Maidin.

Kerajaan negeri serius untuk melihat golongan petani di negeri ini berjaya dalam menguruskan kawasan pertanian masing-masing lebih-lebih lagi dalam mengendalikan tanaman kelapa yang kini mengalami kekurangan bekalan bahan berkenaan.

“Melalui penyelidikan dan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian terhadap beberapa jenis kelapa ternyata kelapa hibrid mampu beri pulangan lumayan kepada petani,” kata Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Encik Md Yusof Maidin.

Katanya, baka baru yang dikenali sebagai kelapa matag ini berbuah lebat antara 15 hingga 25 biji setandan dengan harga sekitar RM2 sebiji.

Mengambil kira kelebihan berkenaan jabatan telah mengagihkan 7,068 benih kelapa matag kepada pekebun kecil kelapa seluruh negeri tahun lalu.

Katanya, petani digalakkan mengantikan pokok kelapa sedia ada yang tidak produktif kepada tanaman kelapa matag yang tebal isinya dan banyak santan.



“Jabatan juga telah memperuntukan RM1.18 juta bagi tujuan penanaman semula dan pemulihan kawasan tanaman menerusi Program Pembangunan Industri Kelapa (PPIK),” katanya.

Katanya, jabatan juga sudah ada kawasan perintis penanaman kelapa matag yang sudah dimulakan beberapa tahun tahun namun penanaman secara lading masih belum dapat dilaksanakan kerana kesukaran mendapatkan benih.

TEGANUKITA

Kemas penyampai inspirasi kerajaan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Haji Ashaari Idris.

Tugas mendidik generasi kecil diperingkat tadika menjadi sebahagian tanggungjawab anggota di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam membentuk sahsiah dan keperibadian kanak-kanak.

“Tidak terbatas mendidik kanak-kanak tetapi turut membantu menyampaikan inspirasi kerajaan kepada masyarakat di kampung-kampung,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Haji Ashaari Idris ketika meraikan warga Kemas DUN Langkap di Sutra Beach Resort, Rhu Tapai, Setiu.

Katanya, sebagai tonggak kepada kerajaan, anggota Kemas perlu memberi komitmen padu dalam menjalankan tugas masing-masing dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang.

“Selaku tonggak kepada kerajaan jangan mudah keliru dengan pelbagai perubahan yang berlaku sama ada dari aspek sosial dan politik sebaliknya sentiasa terbuka menerima sesuatu perkara yang berbangkit,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani Negeri.

Katanya, peranan yang dimainkan warga Kemas penting dalam memastikan kekuatan kerajaan meneruskan kelangsungan pembangunan yang dirancang demi kesejahteraan rakyat.

Haji Ashaari berharap semua pihak dapat mengekalkan perpaduan di semua peringkat bagi mengukuhkan kekuatan dan peranan orang Melayu.

TEGANUKITA

Thursday, February 24, 2011

Kemahiran Asas Dalam Penyembelihan

Oleh: Esah Abdullah


Peserta sedang melakukan pratikal cara sembelih yang betul ketika Bengkel Penyembelihan Halal, di UniSZA Kampus Kota, Kuala Terengganu.

Memberi pengetahuan dan kemahiran asas dalam penyembelihan haiwan mengikut hukum syarak serta pendedahan kepada masyarakat mengenai proses dan konsep pengurusan penyembelihan halal.

Penyaluran maklumat berkaitan penyembelihan halal serta isu-isu berkaitan kepentingan penyembelihan dalam konteks kesihatan umum veterinar teknologi semasa perlu didedahkan kepada umum agar tidak timbul keraguan mengenainya.

Selaku Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mempunyai fungsi pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat melalui sumbangan berbentuk ilmu serta perkhidmatan komuniti sekitar.

“Tahun ini UniSZA akan mengadakan empat siri perbengkelan mengenai penyembelihan halal ini dan orang ramai dialu-alukan untuk membabitkan diri dalam program ini,” kata Naib Canselor UniSZA, dato’ Prof. Dr Alias Daud.



Katanya, tahun lalu UniSZA berjaya mengadakan bengkel ini dua kali dan tahun ini bercadang menambahnya kepada empat dimana peluang ini harus dimanfaatkan oleh orang ramai kerana asas pengetahuan dalam soal penyembelihan halal ini jarang diadakan oleh mana-mana agensi.



“Peserta akan diberi sijil penyertaan oleh UniSZA dan jika lulus dalam sesi penilian dan temuduga yang dikendalikan oleh panel dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kesihatan ,” katanya.

Sehubungan itu katanya, peserta yang berjaya akan dicadangkan kepada Jawatankuasa Persijilan Penyembelihan Halal Negeri Terengganu untuk perakuan dan dianugerahkan Sijil Penyembelihan.

TEGANUKITA

Monday, February 21, 2011

Kebersihan sebahagian daripada iman - SUK

Oleh: Esah Abdullah

Kebersihan merupakan tunggak kepada kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi manifestasi keteguhan iman seseorang kepada Allah s.w.t seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; kebersihan itu sebahagian daripada iman.

“Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal dan tempat ibadat kerana suasana bersih, suci mewujudkan persekitaran sihat, selamat dan impak kesejahteraan kepada umum,” kata Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah.

Katanya, kerajaan mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai pertandingan kebersihan dan keceriaan membabitkan sekolah, kampung, kedai makan dan tadika dalam usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan bermula dari peringkat kanak-kanak.

“Seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan pendedahan awal kepada kanak-kanak di tadika penting bagi memastikan generasi akan datang sentiasa menghargai kebersihan dalam segala aspek kehidupan,” katanya di majlis penyampaian hadiah Program Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Tadika peringkat negeri di Menara Yayasan Islam Terengganu (YIT), Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan dan Tugas-tugas Khas) Haji Wan Mohd Lotfi Wan Ismail; Timbalan Pengarah YIT, Haji Alias Jaafar dan Penolong Pengarah Kemas, Puan Zanna Roslan.

Pertandingan yang membabitkan empat jabatan pra sekolah seperti YIT, Jabatan Pelajaran Terengganu (JPT), Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ini mampu menerapkan nilai murni dan budaya cintakan kebersihan alam sekitar.

“Saya menyeru semua pihak memberi kerjasama erat untuk menjadikan negeri indah dan bersih sekaligus dapat meningkatkan imej negeri di mata dunia,” katanya,

Sementara itu, Tadika YIT Parlimen Kuala Nerus menjadi johan kategori bersepadu dan menerima wang tunai RM3,500 sijil/ plak, Tadika YIT Hulu Terengganu (kedua) menerima RM3,000, dan Tadika YIT Setiu (ketiga) menerima RM2,500.

Manakala kategori individu, Tadika Kemas, Kampung Amer 11, Besut (johan) menerima RM2,000, Tadika Kemas Kampung Sungai Lerek, Setiu (kedua) menerima RM1,500 dan Tadika Kemas Kampung Pengkalan Setar, Marang (ketiga) menerima RM1,000.

Kedua-dua kategori berkenaan turut bertanding di peringkat Parlimen dan johan menerima wang tunai RM500 naib johan RM450 dan tempat ketiga RM300.

TEGANUKITA

MSSDHT Juara Merentas Desa Peringkat Negeri

Oleh : Esah Abdullah

Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Terengganu (MSSDHT) muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Merentas Desa Peringkat Negeri, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Terengganu (MSST) 2011.

MSSDHT mengungguli tiga kategori melalui Fatin Nadia Mohammad (P-18 tahun ke bawah), Basyaruddin Adilah Zaki (L-18 tahun ke bawah) dan Mohd Amiruddin Bazli (L-15 tahun ke bawah) manakala Anles Zarryna Amdan dari Kuala Terengganu Utara, juara 15 tahun ke bawah.

“Dengan kejayaan tersebut, tujuh peserta dari MSSDHT layak mewaliki negeri menyertai kejohanan peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan di Serawak awal bulan depan,” kata Penyelia MSSDHT, Abdul Halim Osman.

MSS Terengganu Utara terpilih menjadi tuan rumah kejohanan kali ke lapan ini dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Terengganu menjadi lpkasi pelepasan dan penamat 512 peserta dari lapan daerah seluruh negeri.

Setiap daerah menghantar 62 peserta antaranya, MSSD Kemaman, Dungun, Marang, Setiu, Besut, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu Utara dan Kuala Terengganu Selatan.

Para peserta melalui trek sejauh lapan kilometer (lelaki) dan lima kilometer (perempuan) melewati tiga kampung iaitu Kampung Gelong Gajah, Padang Kemunting dan Bukit Cempaka

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang telah dilakukan oleh Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Encik Jaafar Ismail.

TEGANUKITA

Umat Islam Perlu Berhati-hati Memilih Kedai Makan

Oleh: Esah Abdullah

Orang ramai khususnya umat Islam di negeri ini diminta berhati-hati memilih kedai makan terutama kedai kopitiam kerana ia tidak mempunyai status sijil halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Teregganu (JHEAT).

“Setakat ini tidak ada satu pun kedai kopitiam yang beroperasi di negeri ini diberi status halal,” kata Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Shaikh Harun Ismail.

Katanya, ini berdasarkan rekod simpanan Bahagian Penyelidikan (Unit Pengurusan Halal) , namun begitu kita tidak pasti sama ada kedai ini mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Dato’ Shaikh Harun, terdapat 20 kedai kopitiam beroperasi di negeri ini serta sangat popular dikalangan masyarakat dan juga sering dikunjungi orang Islam.

Setakat ini katanya, pihak JHEAT hanya mengeluarkan sijil halal kepada sebuah restoran yang beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) manakala kedai makan lain tidak ada tanda halal.

“Pengusaha perlu sedar dan peka kerana makanan yang dihidangkan untuk orang ramai itu perlu ada tanda halal yang boleh meyakinkan orang untuk memilih produk kita,” katanya.

Tambahnya, proses dapatkan sijil halal tidak payah paling lama dua minggu selepas penyerahan borang, kemudian penyiasatan akan dijalankan, sekiranya mematuhi peratusan dan hukum syarak pihak jabatan akan keluarkan label halal.

“Bayaran juga tidaklah mahal hanya RM200 bagi satu dapur untuk tempoh dua tahun, kemudian pengusaha perlu mengisi borang baru,” katanya.

TEGANUKITA

Wednesday, February 9, 2011

Taman Tema Zoo Bukit Takal, Kemaman

Oleh: Esah Abdullah



Taman Tema Rekreasi Air Zoo Bukit Takal, Kemaman sudah mula dilengkapi dua komponen iaitu air terjun buatan dan gelonsor air untuk tarikan pelancong yang berkunjung ke Mini Zoo berkenaan.

Beberapa peralatan lain antaranya, kolam ombak, laluan anak sungai buatan dan gelonsor air ke dua akan menjadi pelengkap kepada taman yang membawa konsep alam semula jadi ini.



Semua kelengkapan untuk menghiasi taman ini dilaksana secara berperingkat dalam usaha memberi keselesaan dan keselamatan kepada orang ramai yang mungkin datang bersama anak kecil.

Beberapa kelengkapan lain seperti taman permainan kanak-kanak dalam kolam, kemudahan istirehat, kedai makan, bilik persalinan dan bilik solat akan di bangunkan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.




TEGANUKITA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...