TERKINI DI

Monday, February 21, 2011

Kebersihan sebahagian daripada iman - SUK

Oleh: Esah Abdullah

Kebersihan merupakan tunggak kepada kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi manifestasi keteguhan iman seseorang kepada Allah s.w.t seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; kebersihan itu sebahagian daripada iman.

“Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal dan tempat ibadat kerana suasana bersih, suci mewujudkan persekitaran sihat, selamat dan impak kesejahteraan kepada umum,” kata Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah.

Katanya, kerajaan mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai pertandingan kebersihan dan keceriaan membabitkan sekolah, kampung, kedai makan dan tadika dalam usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan bermula dari peringkat kanak-kanak.

“Seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan pendedahan awal kepada kanak-kanak di tadika penting bagi memastikan generasi akan datang sentiasa menghargai kebersihan dalam segala aspek kehidupan,” katanya di majlis penyampaian hadiah Program Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Tadika peringkat negeri di Menara Yayasan Islam Terengganu (YIT), Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan dan Tugas-tugas Khas) Haji Wan Mohd Lotfi Wan Ismail; Timbalan Pengarah YIT, Haji Alias Jaafar dan Penolong Pengarah Kemas, Puan Zanna Roslan.

Pertandingan yang membabitkan empat jabatan pra sekolah seperti YIT, Jabatan Pelajaran Terengganu (JPT), Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ini mampu menerapkan nilai murni dan budaya cintakan kebersihan alam sekitar.

“Saya menyeru semua pihak memberi kerjasama erat untuk menjadikan negeri indah dan bersih sekaligus dapat meningkatkan imej negeri di mata dunia,” katanya,

Sementara itu, Tadika YIT Parlimen Kuala Nerus menjadi johan kategori bersepadu dan menerima wang tunai RM3,500 sijil/ plak, Tadika YIT Hulu Terengganu (kedua) menerima RM3,000, dan Tadika YIT Setiu (ketiga) menerima RM2,500.

Manakala kategori individu, Tadika Kemas, Kampung Amer 11, Besut (johan) menerima RM2,000, Tadika Kemas Kampung Sungai Lerek, Setiu (kedua) menerima RM1,500 dan Tadika Kemas Kampung Pengkalan Setar, Marang (ketiga) menerima RM1,000.

Kedua-dua kategori berkenaan turut bertanding di peringkat Parlimen dan johan menerima wang tunai RM500 naib johan RM450 dan tempat ketiga RM300.

TEGANUKITA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...