TERKINI DI

Monday, February 28, 2011

Tiga Strategi Tingkat Ekonomi Pekebun Kecil

Oleh: Esah Abdullah



Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menggariskan tiga strategi untuk pembangunan ekonomi pekebun kecil iaitu meningkatkan produktiviti, menyusun semula gerakan Koperasi Pekebun Kecil (KPK) dan memperkasakan Kelab Usahawan Pekebun Kecil (KUPK).

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) Risda, Dato’ Wan Mohd Zuki Mohamad berkata, di samping kerja-kerja menoreh pekebun juga boleh terlibat dalam pembekalan benih dan baja untuk keperluan pekebun lain serta mencuba bidang pemasaran dan pemerosesan getah .

“KPK akan disusun semula supaya pekebun getah lebih efisien dan berdaya saing,” katanya di majlis Pelancaran dan Penyampaian Geran Kelab Usahawan Risda (Risec) di Akademik Bomba dan Penyelamat Malaysia wakaf Tapai, Marang, Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pengarah Risda Terengganu, Haji Zakaria Mat Zin; Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan, Hajah Zainabon Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Risda, Datin Faridah Hanam Abdul Rashid.

KPK juga katanya, akan diperkasa dengan penglibatan dalam aktiviti niaga sebagai ‘wakil kuasa’ untuk melaksana Program Tanam Semula bagi ahli-ahli dan menjadi wahana yang berkesan untuk meningkatkan sistem penyampaian Risda.

“Koperasi ini boleh muncul sebagai kontraktor pembangunan, penyenggaraan, penghasilan kebun, pengendali semaian transit, pengendali pengangkutan benih, pengusaha depo dan agen pengurusan kebun dimana hanya KPK sahaja diberi lesen membeli dan menjual getah,” katanya.

Selain itu katanya, Risda sedang berusaha ke arah memperkasakan KUPK untuk melahir lebih ramai usahawan kalangan pekebun kecil dan mensasarkan 10,000 usahawan menjelang 2015.

Katanya, melalui Institusi Kemajuan Pekebun Kecil (IKPK) latihan teknikal, pengurusan ladang, kemahiran dan keusahawanan ditingkatkan untuk memberi ilmu pengetahuan, ketrampilan , kredibiliti dan potensi kepada mereka.

“Risda sentiasa mengambil usaha berterusan untuk membuka mata dan pemikiran terhadap dunia keusahawanan sebagai langkah meningkatkan pendapatan pekebun kecil, “ katanya.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...