Empat Jawatan Ketua Wanita Umno bahagian akan dicabar
Sekurang-kurangnya empat Ketua Wanita Umno bahagian bakal dicabar dalam pemilihan Persidangan Wanita Umno bahagian yang akan diadakan pada 12 Oktober depan.
Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu, Hajah Zainun Abu Bakar berkata, bahagian yang dimaksudkan ialah Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.
“Setakat ini terdapat ura-ura jawatan ketua wanita bahagian akan dicabar namun ia akan diketahui setelah pendaftaran penamaan calon bagi ketiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri dibuka pada 21 September depan,” katanya kepada Teganukita hari ini.
Setakat ini katanya, Ketua Wanita Kuala Terengganu Hajah Jannah Zaleha Nik dan Ketua Wanita Setiu Hajah Wan Maznah Nong dikatakan akan berundur untuk memberi peluang kepada muka baru.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Dungun itu akan mempertahankan jawatannya yang disandang sejak 2008.
Manakala jawatan Ketua Wanita Kuala Nerus yang disandang Hajah Khadijah Awang sekarang juga akan dicabar oleh muka lama dari kalangan ahli parti.
Selain itu, bekas Ketua Puteri Perhubungan Terengganu dan juga Ketua Puteri Bahagian Kuala Terengganu, Puan Nordiana Shafie menyatakan kesediaan bertanding bagi jawatan Ketua Wanita Bahagian Kuala Terengganu untuk meneruskan kesinambungan kepimpinannya dalam parti.
Sementara itu kedudukan Ketua Wanita Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah, Ketua Wanita Marang Senator Hajah To’ Puan Zaiton Mohd Amin, Ketua Wanita Hulu Terengganu Datuk Hajah Fatimah Hamat dan Ketua Wanita Besut, Engku Naimah Engku Taib dikhabarkan tidak tergugat.
“Perpaduan wanita dalam parti dan masyarakat tidak akan tergugat walau pun berlaku pertandingan dan ini adalah proses biasa dalam usaha memperkukuhkan parti ,” kata Hajah Zainun.
No comments:
Post a Comment