Oleh: Esah Abdullah
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membelanjakan RM14,000 di bawah tabung kebajikan dan RM5,000 tabung zakat universiti itu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof Dr. Yahya Ibrahim berkata, UMT sentiasa prihatin terhadap masalah pelajarnya dan akan hulur bantuan kepada pelajar terbabit.
“Sumbangan yang dihulurkan kepada pelajar –pelajar yang bermasalah ditimpa musibah seperti kematian ibu atau bapa dan juga akibat kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas menyerah sumbangan kepada salah seorang penuntut UMT, Nurul Shuhada Abdul Razak, di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus baru-baru ini.
Katanya, tiga bulan pertama tahun ini, 40 pelajar menerima sumbangan di bawah tabung kebajikan UMT dengan pelbagai bentuk bantuan seperti wang tunai, barangan keperluan harian, basikal dan sebagainya.
Prof Dr Yahya mengulas masalah yang dihadapi Nurul Shuhada pelajar jurusan perakaunan yang kematian kedua ibu bapanya pada pertengahan tahun lalu yang sekali gus menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran kerana terpaksa mengalas tanggungjawab menjaga enam orang adiknya.
“Kita tidak mahu pelajar kita tercicir dalam pelajaran akibat masalah peribadi atau musibah yang berlaku dengan memantau prestasi setiap pelajar dari masa kesemasa serta cuba merungkainya melalui pelbagai cara,” katanya.
Katanya, UMT menggunakan beberapa pendekatan termasuk memberi peluang mereka luahkan apa yang terpendam di hati, disusuli dengan kunjungan ke rumah dan berkomunikasi dengan keluarga pelajar terbabit.
Katanya, bantuan yang dihulurkan oleh UMT bukan setakat wang tunai, barangan keperluan harian malah tiket penerbangan pergi balik kepada pelajar yang berada di Sabah dan Serawak kerana kematian ibu atau bapa.
“Ada juga berlaku pelajar meninggal di Universiti dan kita akan beri bantuan kepada keluagranya untuk mengurus jenazah serta pengangkutan sekali,” katanya.
“Menjadi tanggug jawab semua pihak sama ada pihak universiti dan kerajaan membantu pelajar bermasalah agar dapat meneruskan pelajaran dalam keadaan yang tenang,” katanya.
No comments:
Post a Comment