TERKINI DI

Sunday, March 27, 2011

Pelajar Melayu perlu pro-aktif

Oleh: Esah Abdullah

Pelajar Melayu perlu bersikap pro-aktif, berdaya saing dan menimba pelbagai pengetahuan dan kemahiran ketika berada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta.

“Sikap mudah berpuas hati dan lulus sekadar ‘cukup makan’ mengakibatkan mereka sukar menempatkan diri dalam dunia pekerjaan apabila tamat pengajian kelak,” kata Setiausaha Politik Menteri Besar, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abd. Hamid.

Sikap begini katanya, akan merugikan diri sendiri dan selagi tidak dibuang, selama itulah mereka tidak akan dapat bersaing dengan kaum lain.

“Sebagai anak muda yang akan mewarisi kepimpinan negara, semangat jati diri serta berkeyakinan dan bijak berkomunikasi harus dimiliki oleh setiap penuntut universiti kerana merekalah akan mewarnai masa depan negara,” katanya

Encik Wan Ahmad Nizam yang merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Belia Daerah Kemaman di Dewan Majlis Perbandaran, Kemaman itu melahirkan kekesalan kerana ada graduan Melayu tidak bersedia ketika menghadiri temu duga serta mengabaikan etika berpakaian.

Selain itu katanya, pemilihan bidang pengajian yang diambil juga perlu diberi perhatian selain minat biarlah bersesuai dengan keperluan semasa supaya tidak sukar mencari pekerjaan bila tamat pengajian nanti.

Katanya, pelbagai bantuan pendidikan disediakan oleh kerajaan dan penuntut harus menjadikannya sebagai dorongan untuk terus cemerlang di samping dapat meningkatkan taraf kehidupan keluarga masing-masing.

Pada majlis berkenaan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah menyerahkan sumbangan komputer idola kepada Majlis Belia Negeri (MBN) untuk diagihkan kepada badan-badan gabungan antaranya Persatuan Pandu Puteri, Pergerakan Belia 4B, MAYC dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...