Kerajaan negeri akan menghidupkan semula semua jenis permainan tradisional yang ada di Terengganu agar warisan berkenaan terus hidup dan bertahan untuk tatapan generasi akan datang.
“Negeri kita kaya dengan pelbagai permainan tradisi dan seni warisan ini mampu menarik minat orang ramai serta pelancong luar untuk datang ke Terengganu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.
Katanya, kerajaan bercadang menganjurkan pertandingan permainan tradisional peringkat nasional bagi memberi peluang golongan belia menyertai apa saja permainan mengikut minat masing-masing.
Datuk Abdul Rahin sekadar menyebut beberapa permainan tradisional yang popular setakat ini iaitu gasing, seni silat, tarian tradisi dan wau yang turut terbahagi kepada beberapa kategori dalam setiap permainan.
“Contohnya dalam permainan wau, rata-rata dimonopoli oleh golongan muda bermula dari mencari, meraut buluh, membuat rekabentuk seterusnya menaikkan wau,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini (2 Mac).
Beliau kemudiannya mengucapkan tahniah kepada pasukan wau negeri yang berjaya menjadi juara keseluruhan dalam Festival Layang-layang Sedunia yang berlangsung di Pasir Gudang Johor pada 16 hingga 20 Februari lalu.
“Syabas kepada pasukan wau kita yang telah menemui sentuhan baru sejak kebelakangan ini serta disegani oleh negeri-negeri lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment