Muslim kena reda ketetapan Ilahi
Allah SWT
berfirman yang bermaksud; “Demi sesungguhnya telah tetap hukuman
seksa atas kebanyakan mereka, kerana
mereka tidak mahu beriman.” (Surah
Yasin, ayat 7).
Menurut ahli Sunnah wal Jama’ah, setiap yang berlaku adalah
di bawah qadak dan qadar Allah SWT dan
dalam hal ini manusia mempunyai kemampuan yang terbatas.
Sehubungan itu, manusia berada di bawah ketentuanNya. Mereka
masih mempunyai pilihan ke atas takdir
yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Menurut, Abu Hafs
Umar ibn ‘Ali dalam karyanya al-Lubab fil ‘Ulum al-Quran, maksud benar dan
tetap hukuman atas kebanyakan mereka mengandungi tiga penafsiran.
Pertama, hukuman itu ditegaskan dalam firman Allah SWT yang
bermaksud; “Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan
jenismu dan dengan orang yang menurutmu
di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya.” (Surah Saad, ayat 85).
Kedua, hukuman di atas telah termaktub dalam pengetahuan
Allah SWT, sama ada beriman ataupun tidak dan ketetapan itu tidak dapat ditukar
sama sekali.
Ketiga, kebenaran hukuman itu dinyatakan Allah SWT melalui
dakwah Rasul ke arah mengesakan Allah SWT. Apabila mereka menolak dakwah itu
dan menjejaskan keimanan dengannya, maka keimanan itu tidak lagi membawa
apa-apa erti kepada mereka.
Manusia diberi pilihan dalam segala amalan dan aktiviti
berbentuk taklif (tanggungjawab) dan dia akan dinilai oleh Allah atas perkara
yang dilakukan. Di sini pentingnya pengetahuan dan hidayah dari Allah SWT.
Menjadi asas akidah Islam bahawa mempercayai qadak dan qadar
termasuk dalam Rukun Iman yang perlu dan wajib diimani setiap Muslim. Qadak dan
qadar berkait rapat dengan kehendak
Allah SWT.
Kepercayaan mengenainya didasari dengan makrifatullah yang
sahih. Rasulullah SAW juga menekankan kepercayaan kepada qadak dan qadar dalam hadis ketika ditanya oleh
Jibril.
Jawapan Baginda begitu jelas; “Rukun Iman ialah kamu mempercayai kewujudan
dan keesaan Allah SWT, malaikat, rasul, kewujudan hari kiamat dan qadar yang
baik serta jahat.” (Rirawat Muslim).
Tasawur Islam terhadap qadak dan qadar menjadikan seseorang
Muslim akur dan reda dengan ketentuan Allah SWT padanya. Ia bukan memaksudkan manusia tidak mempunyai pilihan dan menyerah
sepenuhnya kepada takdir dengan ketiadaan usaha dan iradah. Tetapi kehendak dan
keinginannya dibatasi serta mengikut kehendak dan ketentuan Allah SWT.
Perkara ini dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang
bermaksud; “Dan kamu tidak dapat
menentukan kemahuan kamu (mengenai
sesuatu pun), kecuali dengan cara yang
diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan menatadbirkan seluruh alam.”
(Surah al-Takwir, ayat 29).
No comments:
Post a Comment