Esok merupakan hari penentuan siapa bakal muncul sebagai pemenang pertandingan pidato yang membawa tema ‘Gagasan 1Malaysia Wadah Perpaduan Nasional’ anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT).
Pengarah JPNT, Hajah Azizah Awang berkata pertandingan ini khusus untuk peserta bukan Melayu yang disertai tujuh orang daripada kaum Cina, India, Dusun dan Iban.
Katanya, pertandingan yang berlangsung di Dewan Binjai, Hotel Seri Malaysia, Kuala Terengganu bermula 10 pagi untuk saringan dan tiga peserta terbaik akan bersaing pada peringkat akhir bermula 5 petang pada hari yang sama.
“ Pertandingan ini merupakan usaha kita untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan masyarakat pelbagai kaum mengenai dasar negara khususnya Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Menurutnya, melalui pertandingan sebegini diharapkan dapat meningkatkan rasa cinta dan patriotisme masyarakat pelbagai kaum terhadap negara tercinta ini.
Katanya, johan pertandingan akan menerima hadiah wang tunai RM1,500, kedua (RM1,000) dan ketiga (RM500) manakala saguhati akan menerima RM200.
Selain hadiah, orang ramai yang hadir berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik yang disediakan oleh pihak penganjur.
Pengerusi Jawatankuasa Perundustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, YB Toh Chin Yaw akan merasmikan program berkenaan.
No comments:
Post a Comment