TERKINI DI

Monday, June 20, 2011

Fama wujud lima pasar tani tahun ini

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri akan mewujudkan lima lagi pasar tani tahun ini dalam usaha meluaskan pasaran hasil pertanian serta memberi peluang latihan kepada usahawan tani menjana pendapatan mereka.

Pengarah Fama negeri, Encik Hasan Jusoh berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan jualan pasar tani kepada RM22 juta bagi tahun ini, berbanding RM20 juta tahun lalu.

“Sasaran itu juga selari dengan penambahan bilangan usahawan pasar tani seramai 950 orang (2011) berbanding 689 orang tahun lalu ,” katanya..

Katanya, lima pasar tani yang dibuka tahun ini termasuklah di Chukai, Kemaman dan Pulau Serai, Dungun yang dibuka pada April lalu, Kuala Telemong dan Ajil, Hulu Terengganu (Jun) dan Pasar Tani Gong Badak, Kuala Terengganu dijangka September ini.

Katanya, nilai jualan keseluruhan yang terkumpul tahun lalu membabitkan 14 pasar tani seluruh negeri membabitkan tujuh di Besut, Kuala Terengganu (3), Hulu Terengganu (2) dan masing-masing sebuah di Kemaman dan Marang.

Selain itu katanya, keistimewaan pasar tani apabila hampir keseluruhan penjualnya terdiri daripada petani individu dan berkumpulan yang menjual hasil pertanian segar ataupun siap diproses.

“Hasil pertanian yang dijual juga lebih segar dan harganya berpatutan kerana sebahagian besar peserta mendapat bekalan terus dari ladang, selain aktiviti jualan pasar tani diserikan dengan pelbagai kegiatan berjadual seperti promosi barangan baru dan galakan pasaran produk pertanian,” katanya..

Sehubungan itu katanya, pasar tani juga memberi peluang kepada pengeluar desa menjual hasil keluaran secara lebih sempurna dan menarik dengan penekanan kepada konsep nilai tambah serta perkhidmatan yang lebih selesa.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...