Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Pusat Akreditasi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM)) bagi menjalankan Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (KAAK).
Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa berkata, pengiktirafan juga membabitkan prosedur yang disandarkan kepada pengurusan Taska dan aktiviti kanak-kanak yang berkesan.
Selain itu katanya, jalinan kerjasama kakitangan disemua bahagian terhadap tugasan dan tanggung jawab masing-masing membolehkan YPKT menerima Persijilan ISO 9001:2008.
“ Sehingga ini 538 guru sedang berkhidmat di YPKT dan 164 orang daripada jumlah berkenaan memiliki ijazah dan diploma dalam pelbagai bidang,” katanya kepada Teganukita.
Selain itu katanya, hampir 80 peratus kakitangan yang sedang berkhidmat dengan Taska YPKT memiliki sijil KAAK dan kini 240 guru sedang mengikuti latihan dalam cuti selama enam minggu.
Encik Mohd Safaruddin berkata, Taska YPKT juga telah menggunakan kaedah pembelajaran secara interaktif yang dibangunkan bersama Top IT Industries Sdn Bhd.
Katanya, perancangan kurikulum yang teliti dengan bantuan ibu bapa menjadikan kanak-kanak di bawah keloloaan YPKT lebih berkeyakinan dan mampu bersosial dalam masyarakat majmuk.
“Kefahaman dan penglibatan ibu bapa sangat penting dalam pengasuhan di Taska dan kerajaan negeri turut membuat pelaburan tinggi bagi menyediakan pelbagai kemudahan ke arah memantapkan sistem pembelajaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment