TERKINI DI

Thursday, October 3, 2013


Bangunan  RM140 juta  milik MBKT  mula dibina  

Hasrat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)  memiliki bangunan sendiri akan menjadi kenyataan bila kerja-kerja pembinaan bangunan 31 tingkat akan dimulakan pada bulan depan.
Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata,  bangunan yang menelan kos RM140 juta itu akan memulakan kerja-kerja pembinaannya bulan depan.
“MBKT satu-satunya majlis bandaraya  yang  masih tidak mempunyai bangunan sendiri, tapi InsyaAllah ia akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi,” katanya. di majlis perjumpaan Menteri  Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan  bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Katanya, Majlis Perbandaran Dungun  (MPD) juga bakal mendapat  bangunan sendiri dan kini berada pada peringkat menyiapkan reka bentuk bangunan.
 “Bila semua selesai ia akan dilaksanakan secepat mungkin sesuai dengan statusnya sebagai sebuah majlis perbandaran,” katanya.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, PBT di Terengganu adalah di antara  yang paling banyak mempunyai tanah  lapang yang boleh dibangunkan untuk pembangunan dan sudah tentu ia sangat berpotensi untuk dijadikan aset bagi mengumpul  dana PBT.
Setakat ini katanya, pembinaan bangunan dan premis perkedaian dilaksanakan  secara pembiayaan bersama antara kerajaan negeri, PBT dan juga pihak kementerian.
“Melalui  cara ini kita boleh membangunkan kawasan kecil  bagi tujuan komersial  tanpa memberi bebaban kos terhadap satu pihak saahaja di samping  mendatangkan  pulangan kepada PBT   untuk  berdikari pada masa-masa akan datang,” katanya.


Kerajaan belanja RM60 setahun untuk kebersihan.

Kerajaan membelanjakan hampir  RM60 juta setahun  untuk kerja-kerja pembersihan di kawasan bandar  di negeri ini.
Menteri Besar Dato’ Seri Haji  Ahmad Said berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  merupakan jentera barisan hadapan yang memberi khidmat kepada rakyat menjaga kebersihan.
 Katanya, kerajaan  mengharapkan rakyat turut sama menjaga kebersihan bandar kita, kerana ia membabitkan imej negeri   di mana setiap pelancong yang datang  ke negeri ini perkara utama dilihat adalah persekitaran sama bersih atau sebaliknya.
“Saya yakin jika rakyat bersama  mengambil tanggug jawab  serta menjaga kebersihan,    kerajaan dapat menjimatkan kos yang dibelanjakan  untuk bersih kawasan  dan boleh digunakan untuk bina pembangunan,” katanya.
Menteri Besar berkata demikian di majlis perjumpaan Menteri  Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan  bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Katanya, 60 peratus bajet tahunan kerajaan dibelanjakan untuk kerja-kerja pembersihan  longkang, memotong rumput dan sebagainya.
“Kerajaan sentiasa dan akan terus memberi  perhatian  serius  terhadap penjagaan kebersihan  sekitar malah tidak akan berkompromi  terhadap mana-mana premis perniagaan atau orang ramai yang mengabaikan kebersihan,” katanya.

Wednesday, October 2, 2013


Muslim  kena reda ketetapan Ilahi

Allah SWT  berfirman  yang bermaksud;   “Demi sesungguhnya telah tetap hukuman seksa  atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.”  (Surah Yasin, ayat 7).

Menurut ahli Sunnah wal Jama’ah, setiap yang berlaku adalah di bawah  qadak dan qadar Allah SWT dan dalam hal ini manusia mempunyai kemampuan yang terbatas.

Sehubungan itu, manusia berada di bawah ketentuanNya. Mereka masih  mempunyai pilihan ke atas takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Menurut,  Abu Hafs Umar ibn ‘Ali dalam karyanya al-Lubab fil ‘Ulum al-Quran, maksud benar dan tetap hukuman atas kebanyakan  mereka  mengandungi  tiga penafsiran.

Pertama, hukuman itu ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud;  “Demi sesungguhnya!  Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan jenismu dan dengan  orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya.”  (Surah Saad, ayat 85).

Kedua, hukuman di atas telah termaktub dalam pengetahuan Allah SWT, sama ada beriman ataupun tidak dan ketetapan itu tidak dapat ditukar sama sekali.

Ketiga, kebenaran hukuman itu dinyatakan Allah SWT melalui dakwah Rasul ke arah mengesakan Allah SWT. Apabila mereka menolak dakwah itu dan menjejaskan keimanan dengannya, maka keimanan itu tidak lagi membawa apa-apa erti kepada mereka.

Manusia diberi pilihan dalam segala amalan dan aktiviti berbentuk taklif (tanggungjawab) dan dia akan dinilai oleh Allah atas perkara yang dilakukan. Di sini pentingnya pengetahuan dan hidayah dari Allah SWT.

Menjadi asas akidah Islam bahawa mempercayai qadak dan qadar termasuk dalam Rukun Iman yang perlu dan wajib diimani setiap Muslim. Qadak dan qadar berkait rapat dengan  kehendak Allah SWT.

Kepercayaan mengenainya didasari dengan makrifatullah yang sahih. Rasulullah SAW juga menekankan kepercayaan kepada    qadak dan qadar dalam hadis ketika ditanya oleh Jibril.

Jawapan Baginda begitu jelas;  “Rukun Iman ialah kamu mempercayai kewujudan dan keesaan Allah SWT, malaikat, rasul, kewujudan hari kiamat dan qadar yang baik serta jahat.”  (Rirawat Muslim).

Tasawur Islam terhadap qadak dan qadar menjadikan seseorang Muslim akur dan reda dengan ketentuan Allah SWT padanya. Ia bukan  memaksudkan manusia  tidak mempunyai pilihan dan menyerah sepenuhnya kepada takdir dengan ketiadaan usaha dan iradah. Tetapi kehendak dan keinginannya dibatasi serta mengikut kehendak dan ketentuan Allah SWT.

Perkara ini dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud;  “Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan   kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara  yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan menatadbirkan seluruh alam.” (Surah al-Takwir, ayat 29).

Kecurian kabel  di tahap membimbangkan

Telekom Malaysia  (TM)  merayu orang ramai dan penduduk  setempat membantu  pihaknya membasmi gejala kecurian kabel demi kepentingan bersama. 

Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Hamidun Ismail berkata, masalah kecurian kabel milik TM di negeri ini di tahap membimbangkan sehingga syarikat terpaksa menanggung kerugian  besar.

“Antara kawasan dikenal pasti kerap berlaku kecurian adalah daerah Dungun dan Besut terutama di kawasan pendalaman,” katanya.

Katanya, kegiatan ini turut memberi kesan kepada pengguna yang terputus perkhidmatan telekomunikasi.
Menurutnya, usaha telah dilakukan oleh pihaknya bagi menangani rungutan di dua kawasan terbabit namun perkara yang sama berulang selepas kerja baik pulih dilakukan.

“Antaranya kita pernah menawarkan hadiah  sebagai penghargaan kepada pihak yang berjaya menahan atau menyalurkan maklumat berkaitan kecurian kabel ini, namun kejadian berulang selepas TM mengantikan kabel baru,” katanya.

Katanya, kejadian seumpama ini memberi kesan kepada TM kerana terpaksa menanggung kos yang agak mahal  dan kecurian ini kerap berlaku di kawasan pedalaman yang jauh daripada pandangan orang ramai.

Tuesday, October 1, 2013

Jawatankuasa Perwakilan Penduduk akan diwujudkan tahun depan


Sebuah oganisasi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) akan diwujudkan dalam kawasan bandar di seluruh negara mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT), Dato’ Abdul Rahman Dahlan berkata, penubuhan organisasi ini merupakan satu anjakan baru di bawah kementeriannya khusus untuk masyarakat yang tinggal di bandar.


“JPP akan berfungsi serupa dengan Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bertindak sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat,” katanya di majlis perjumpaan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman.

Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Timbalan Ketua Setiausaha KKBPKT, Dato’ Noriah Hashim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Katanya, kebelakangan ini penduduk di kawasan bandar dilihat tidak mempunyai hubungan emosi dengan kerajaan serta agak sukar bagi kerajaan untuk menyelami hati dan naluri mereka yang akhirnya telah menterjemahkan hubungan dalam bentuk undi menentang kerajaan.

“Sebab itu kita lihat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kebanyakan undi masyarakat di bandar tidak memihak kepada Barisan Nasional dan di sinilah kita perlu lakukan sesuatu agar hubungan emosi antara kerajaan dengan masyarakat dapat diwujudkan,” katanya.

Katanya, tujuan kerajaan adalah setiap inci bandar akan diwakili seorang JPP dan akan bekerjasama dengan PBT serta menjalin hubungan rapat dengan kerajaan pusat.

“Perlantikan mereka akan dibuat melalui Kerajaan Pusat di mana bagi jawatan Pengerusi dan Setiausaha akan diberi elaun bulanan manakala jawatankuasa turut menerima elaun kehadiran mesyuarat,” katanya.

Menurut Dato’ Abdul Rahman, apa yang dilaksanakan nanti selaras dengan objektif di bawah kementeriannya untuk mensejahterakan bandar yang selama ini hanya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tugasnya tidak begitu khusus seperti fungsi JPP yang akan ditubuh nanti.

“Kita harap adanya jawatankuasa itu, masyarakat dikawasan bandar dapat menyalurkan segala pemasalahan yang timbul terus kepada wakil JPP untuk disampaikan kepada kerajaan,” katanya.

Pendidikan berkualiti lahir modal insan berkemahiran tinggi


Kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh kerana menyedari bahawa pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satu- satunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing.


YB Ghazali sampai hadiah kepada pemenang pertandingan GSP di TH Hotel
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri YB Ghazali Taib berkata, modal insan inilah yang akan memacu kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi.

”Di bahu merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan kemakmuran masa depan kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian hadiah sempena Pertandingan Membangunkan Bahan Pembelajaran Kendiri Matematik Menggunakan Aplikasi Geometer’s Sketchpad (GSP) Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Terengganu 2013 anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Exxonmobil Malaysia di Hotel Tabung Haji,Gong Badak Kuala Terengganu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Encik Hashim Mohd Zin; Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan, Subsidiari-subsidiari Exxonmobil di Malaysia, Cik Nor Hawa Mohd Yunus dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Haji Mat Sor Ismail.

Katanya, usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah bermula sejak empat tahun lalu dengan melaksanakan empat inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

”Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk negeri dan sokongan padu seluruh warga pendidikan, kita telah menempa kejayaan yang membanggakan dengan kadar penyertaan murid pra-sekolah berjaya ditingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi bertambah dan bai'ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana,” katanya.

Menurutnya, GSP yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2002 merupakan satu perisisan dinamik berbantukan komputer yang dapat membantu pelajar menerokai pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dengan lebih menarik.

 ”Sekali gus menjadi penanda aras melahirkan generasi berilmu pengetahuan tinggi, mempunyai sahsiah diri sejajar dengan tuntutan Islam sebagai aset negeri dan negara. Berdasarkan fakta sejarah dan kecemerlangan pendidikan semasa, wajarlah negeri Terengganu dikenali sebagai negeri anjung ilmu,” katanya.

Sidang DUN; Rang undang-undang rumah tumpangan dipinda untuk keselesaan rakyat


Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini telah meluluskan Pindaan Rang Undang-undang Enakmen Rumah Tumpangan dan perkara-perkara berkaitan dengannya bermula fasa satu hingga 45.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said sempat bergurau dengan Wahid Endut pada sesi rehat Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan berkata, yang digunapakai sekarang adalah Rang Undang-undang 1948 yang melibatkan rumah tumpangan.

Sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri Terengganu sedang berjalan.
“Kita sekarang berada pada alaf baru dan undang-undang ini dipinda adalah untuk keselesaan keselamatan dan keupayaan kepada pengusaha dan juga kepada penginap rumah tumpangan,” katanya kepada pemberita di Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Katanya, dalam peraturan rumah tumpangan terlalu banyak kelemahannya yang perlu diperbetulkan dalam perkara ini mengikut perkembangan semasa

Menurutnya, ketika ini terlalu banyak perlanggaran syarat yang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha yang meletakkan status rumah mereka kepada homestay sedangkan sebenarnya rumah tumpangan.

“Konsep Homestay ialah orang yang datang itu tinggal bersama tuan rumah dengan menyewa bilik dan makan minum apa yang dimasak oleh tuan rumah, tetapi apa yang banyak berlaku hari ini ialah rumah tumpangan yang mana tuan rumah tidak menginap bersama di situ,” katanya.

Katanya, perkara ini telah ditegur oleh pihak Kementerian Pelancongan kerana kesalahan meletakkan status berkenaan dan selepas ini semua pemilik homestay perlu berdaftar dan perlu mendapat kelulusan daripada kementerian.

“Homestay adalah rumah tumpangan yang berdaftar dengan Program Homestay Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan dan bukan sewenang-wenangnya buat rumah kemudian tulis ‘homestay’,” katanya.

Katanya, homestay dan rumah tumpangan merupakan dua perkara berbeza dan ia telah mendapat teguran daripada kementerian baru-baru ini kerana di negeri ini paling banyak berlaku penyalahgunaan nama homestay .

Katanya, setelah mendpat kelulusan Sidang DUN, Rang Undang-undang berkenaan akan diwartakan dan akan diletak di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tujuan penguatkuasaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...