TERKINI DI

Monday, September 23, 2013

Sultan Terengganu minta jemaah haji jaga nama baik negara

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Nur Zahirah berangkat menyempurnakan majlis Pelepasan Jemaah Haji dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud terus ke Tanah Suci Mekah.


Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan majlis Pelepasan Jemaah Haji ke Tanah Suci Mekah Musim 1434H/2013M penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu ke Jedah, di Dewan Baiduri, Hotel Tabung Haji, Gong Badak hari ini.


Berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Menyambut keberangkatan Sultan dan Sultanah Terengganu ialah Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Kenamaan lain yang hadir ialah Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sultan Terengganu bertitah agar bakal-bakal haji dapat menjaga nama baik negara serta tidak mahu jemaah dari negara ini terpengaruh dan terikut-ikut terhadap pergolakan yang sedang berlaku di negara Timur Tengah.


“Tindakan seumpama itu boleh menjejaskan nama baik negara dan juga hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi. Ikuti segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi supaya segala urusan dapat dipermudahkan dan berjalan lancar,” titah baginda.

Sultan Terengganu juga menyeru agar bakal-bakal haji sentiasa mengingati Allah SWT dan banyak bersabar terhadap apa juga dugaan yang bakal dihadapi.

Titah baginda, setiap umat Islam yang menunaikan haji pasti mengharapkan dapat menunaikannya dengan sempurna dan dikurniakan haji yang mabrur.


“Haji yang sempurna memerlukan pengorbanan dari segi tenaga, masa, wang dan perasaan. Ibadah haji juga menuntut pergorbanan seperti perpisahan dengan keluarga, sahabat handai, harta kekayaan, kampung halaman serta menahan kemahuan nafsu semasa dalam ihram.

“Pengorbanan jitu itu bermula dengan persiapan jemaah dari segi mental, fizikal dan spiritual yang perlu berada pada tahap terbaik dan para jemaah hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri dan sekeliling agar tidak menjejaskan kesihatan,” titah baginda.

Sultan Terengganu juga melahirkan rasa bersyukur kerana tahun ini jemaah haji dari Wilayah Pantai Timur khususnya rakyat negeri ini dapat menggunakan kompleks haji yang berfungsi sebagai ‘one stop centre’ sebelum berlepas.

Baginda bertitah , segala proses pendaftaran, daftar ma suk bagasi, pelepasan jemaah disatukan di kompleks ini dan yakin ia mampu memberikan lebih kemudahan, kelancaran serta keselesaan kepada bakal jemaah haji dalam urusan pelepasan.

“Beta mengucapkan syabas kepada Tabung Haji di atas komitmen untuk mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji pada setiap tahun .

 “Beta dan Sultanah mendoakan semua bakal jemaah haji dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna dan kembali ke Tanah Air dengan memperolehi haji yang mabrur,” titah Sultan Terengganu.

Banyak berdoa dan mohon pengampunan - MB


Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Orang yang mengerjakan Haji dan Umrah adalah tetamu Agung kepada Allah. Sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah ampunkan mereka.” Riwayat al-Nasa’iy dan Ibn Majah.
Antara jemaah haji yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu terus ke Mekah.
 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memetik sabda Rasulullah SAW itu di majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji Musim 1434H/2013M penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu ke Jedah, di Dewan Baiduri, Kompleks Haji dan TH Hotel Terengganu, Gong Badak hari ini.


“Ingatlah semasa tuan-tuan dan puan-puan melaksanakan ibadah haji, kebergantungan kita hanya kepada Allah SWT, gandakan doa dan mohon pengampunan dari segala dosa,” katanya.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan majlis pelepasan jemaah haji berkenaan. Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Katanya, pelaksanaan ibadah haji memerlukan kekuatan jasmani dan fizikal yang baik dan melibatkan pergerakan yang banyak seperti tawaf, sa’ie dan melontar jamrah, oleh itu penjagaan kesihatan adalah penting bagi setiap bakal jemaah haji.


“Banyakkan bersabar dan berdoa kepada Allah SWT agar segala urusan ibadah ketika di Tanah Suci berjalan lancar dan mendapat keredhaan-Nya. Jika ada kesulitan hendaklah dirujuk kepada para petugas Tabung Haji,” katanya.

Katanya, tahun ini juga merupakan tahun bersejarah kerana kali pertama Kompleks Haji dan TH Hotel Terengganu digunakan sebagai tempat berkumpul para jemaah haji untuk proses pendaftaran, pemeriksaan bagasi dan kastam sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan proses pengendalian jemaah haji berjalan dengan teratur dan selesa serta tahniah kepada Tabung Haji kerana berjaya memberikan perkhidmatan pengurusan haji yang dikagumi oleh kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam lain,” katanya.

Penerbangan kedua daripada lima penerbangan itu membabitkan 279 bakal jemaah haji daripada 1360 jemaah keseluruhan dari Wilayah Pantai Timur yang akan mengerjakan ibadah haji melalui penerbangan terus dari LTSM ke Tanah Suci Mekah musim ini.

Tuesday, September 17, 2013

Fama kempen makan buahan tempatan


Lambakan buah-buahan seperti durian, rambutan, duku dan manggis di negeri ini menimbul kegusaran kalangan pengusaha kebun dan juga orang persaorangan menyebabkan harganya turut merudum.

Sehubungan itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) meminta para petani di negeri ini yang mengalami masalah untuk memasarkan buah-buahan tempatan bermusim menghubungi pihaknya bagi mengelakkan masalah lambakan buah.


 Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Fama, Encik Ab Razak Ab Majib (gambar) berkata, permintaan buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan dan juga duku sangat tinggi di sekitar Lembah Klang, Shah Alam dan juga Putrajaya.

 “Fama bersedia membantu para petani untuk memasarkan buah-buahan tersebut sebelum tibanya musim tengkujuh ke negeri ini tidak lama lagi.

 “Para petani yang mempunyai masalah untuk memasarkan buah-buahan bermusim ini, sila datang berjumpa atau berhubung terus dengan Fama supaya kita boleh aturkan pasarannya dimana.

“Kita galakan para petani untuk menjual terus sama ada di sekitar Lembah Klang atau mana-mana negeri yang dirasakan sesuai termasuk di Kedah dan Perlis dan Fama pula bersedia untuk mengaturkan lokasi-lokasinya. Insya-ALLAH, kita tidak akan alami lambakan buah seperti tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir pada Program Sambutan & Seranta Sempena Bulan Kemerdekaan ke- 56 tahun peringkat negeri Terengganu 2013 di Pasar Tani Mega Padang Hiliran, Kuala Terengganu. Hadir sama, Pengarah Fama negeri Terengganu, Hasan Jusoh.

Hanya bayar RM5 boleh makan semua jenis buah
Katanya, Fama juga kini telah mula membeli buah duku dari Besut dan juga Setiu bagi tujuan pemasaran.

Menurutnya, bersempena dengan sambutan kemedekaan, Fama telah mengadakan kempen makan buah-buah tempatan di Pasar Tani Mega Padang Hiliran dengan hanya membayar RM5 sahaja setiap orang boleh makan sebanyak mana buah yang diinginkan tanpa had.

Thursday, September 5, 2013

Penuntut di IPT elak jadi pemusnah kepada bangsa sendiri

 
Penuntut di Instituti Pengajian Tinggi (IPT) negara diminta menjadi penyebar maklumat kerajaan kepada masyarakat dan bukannya bertindak sebagai pemusnah kepada negara dan bangsa sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit, YB Haji Bazlan Abdul Rahman berkata, mahasiswa perlu merebut peluang menimba ilmu sepanjang berada di IPT sebagai persiapan diri menghadapi dunia pekerjaan apabila tamat belajar.


“Semasa di IPT beri tumpuan terhadap pelajaran dan jangan sekali-kali melibatkan diri dalam agenda lain yang boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya ketika merasmikan Program Mahabbah In Terengganu 2013 (MIT ’13) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

 
Hadir sama, Penghulu Mukim Bukit Cempaka /Maras, Encik Khairul Anuar Hashim; Pengarah MIT ’13 Muhammad Hafiz Jailani dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Haji Chek Harun Ismail.

 Katanya, peserta MIT tidak harus mensia-siakan peluang bersama penduduk kampung untuk menyelami kehidupan masyarakat serta memahami adat resam yang mungkin tidak terdapat di daerah lain.

“Sebagai orang yang terpelajar, penuntut perlu tahu menilai yang mana kaca dan mana permata serta sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang banyak berjasa kepada bangsa dan negara,” katanya.

Program enam hari yang berakhir Sabtu ini (7 September) disertai 64 orang ( 37 wanita dan 27 lelaki) penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor itu tinggal bersama keluarga angkat masing-masing.

Pelbagai program diatur sepanjang berkampung di kampung berkenaan termasuklah lawatan ke rumah warga emas, sukaneka,  mendaki, motivasi, ruang bicara bersama pemimpin, pengurusan jenazah, kenduri sekampung dan malam kebudayaan.

Pandu Puteri rai 60 pelajar yatim sempena majlis hari raya


Seramai 60 orang pelajar yatim dan miskin akan diraikan dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPCT) yang akan diadakan di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, Kuala Terengganu esok (Jumaat).

Yang Dipertua PPPMCT, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Mahmud berkata, pelajar yatim dan miskin ini didatangkan dari empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.


“Mereka yang terpilih untuk menerima ‘duit raya’ ini merupakan anak yatim dan miskin dari kalangan ahli PPPMCT mewakili 15 buah sekolah rendah dan menengah,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, program ini merupakan aktiviti tahunan PPPMCT dimana setiap tahun akan meraikan golongan sasar yang berlainan dan majlis juga diadakan mengikut giliran daerah.

Katanya, dalam program yang sama tahun lalu PPMCT telah meraikan 50 orang warga emas dari daerah Kemaman dan majlis diadakan di Awana Kijal.

Tuesday, September 3, 2013

Kompleks Haji dan TH Hotel mampu meningkatkan ekonomi negeri

 
Kompleks Haji dan TH Hotel yang terletak di Gong Badak akan menjadi altenatif penginapan terbaik bagi para pelancong yang berkunjung ke Terengganu.

Pengarah Kumpulan Utusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Paduka Ismee Ismail berkata, kompleks ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada bakal jemaah haji tetapi juga dibuka kepada orang ramai sepanjang tahun.


“Yang pasti kompeks dan hotel ini akan turut membantu menjana ekonomi umat Islam di negeri ini,” katanya di Majlis perasmian Kompleks Haji dan TH Hotel di Gong Badak Kuala Nerus, Kuala Terengganu semalam.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Kompleks Haji dan TH Hotel yang keempat di negara ini. Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke majlis berkenaan.

Katanya, TH Hotel dilengkapi dengan bilik-bilik mesyuarat pelbagai fungsi bagi program latihan dan seminar di samping pusat konvensyen yang mampu menampung kapasiti 1,000 orang dan boleh ditempat oleh syarikat dan orang persaorangan.

Kemudahan lain katanya, ialah restoran, dua buah kolam renang termasuk kolam renang tertutup untuk kaum wanita dan taman air kanak-kanak.

Katanya, selain daripada kompleks dan hotel di negeri ini TH juga telah membina kompleks yang seumpamanya di Sabah, Pulau Pinang dan Kedah manakala Kompleks Haji yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2016.

Sehubungan itu katanya, Kompleks Haji yang baharu ini bakal mengendalikan lima penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Tanah Suci melibatkan 1,400 bakal jemaah haji pada musim ini.

Dato’ Paduka Ismee kemudiannya merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah memberi kerjasama padu dalam pembangunan kompleks dan hotel ini termasuk menyediakan tanah seluas 3.08 hektar bagi tapak kompleks.

Haiwan peliharaan perlu ada kad pengenalan

Semua pemilik haiwan di negeri ini diminta mendapatkan kad pengenalan haiwan Malaysia (Pet Pasport) untuk haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, kuda dan juga anjing bagi memudahkan proses penyimpanan maklumat serta rekod oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, YB Nawi Mohamad berkata, dokumen pengenalan berwarna biru yang dikeluarkan oleh JPV itu satu dokumen rasmi melalui Projek Malaysian Animal Traceability System (MATS).


“Kita menggalakkan supaya semua pemilik haiwan peliharaan di negeri ini mendaftar dan juga mempunyai kad pengenalan (pet passport). Apabila mempunyai passport, memudahkan haiwan-haiwan tersebut untuk dibawa ke luar negara dan juga memudahkan rekod kesihatan dikenalpasti dan juga kawalan penyakit.

“Bersempena dengan ulangtahun kemerdekaan negara dan juga Hari Malaysia, promosi percuma terhad kepada dua ekor haiwan sahaja bagi setiap pemilik haiwan untuk mendaftarkan dan memperolehi kad pengenalan sehingga 16 September,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Klinik Veterinar Kuala Terengganu dan juga Promosi Pendaftaran Kad Pengenalan Haiwan Kesayangan, di Jalan Bukit Kecil Kuala Terengganu. Hadir sama, Pengarah JPV negeri, Dr Marzuki Zakaria.

Menurutnya, pasport haiwan ini adalah penting kerana ia mengumpul maklumat penting haiwan kesayangan dalam satu dokumen, yang akan memudahkan pihak berkuasa di sempadan negara untuk mengesahkan rekod kesihatan dan imunisasi haiwan peliharaan menerusi mikrochip ditanam di bawah kulit haiwan peliharaan tersebut.

Selain itu katanya, pada hari biasa pemilik haiwan perlu membayar RM30 bagi mendapatkan kad pengenalan yang sah dalam tempoh setahun, manakala RM10 bagi pendaftaran mendapatkan rawatan dan RM5 untuk rawatan asas seterusnya.

Katanya, kad pengenalan tersebut akan mengandungi gambar haiwan peliharaan, maklumat mengenai haiwan dan pemilik serta rekod perubatan dan pergerakan.

Menurutnya, sekiraya sasaran 1,000 mendaftar di JPV, pihak jabatan bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dengan menyediakan perkhidmatan kawalan berpusat di negeri ini atau GPS/GIS.

Katanya, jabatan akan mengadakan promosi susulan tidak lama lagi di daerah-daerah lain bagi mengalakkan lebih ramai pemilik mendaftarkan haiwan mereka.
Kerajaan akan terus merayu untuk tambah kuota haji




Kerajaan akan terus merayu kepada kerajaan Arab Saudi untuk membolehkan lebih ramai jemaah dari negara ini mengerjakan haji di Tanah Suci tahun ini.

Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahimi berkata, kerajaan telah menghantar surat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi melalui pelbagai sudut, merayu untuk menambah kuota yang ditetapkan.


"Namun dalam keadaan sekarang kita terpaksa akur dengan keputusan daripada kerajaan Arab Saudi dan meminta rakyat di negara ini menerima keputusan itu dengan sabar," katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Kompleks Haji dan TH Hotel di Kuala Nerus, Kuala Terengganu hari ini.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan kompleks berkenaan. Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Pihak tabung haji juga katanya, sedang meneliti permohonan 631 isteri untuk mengikut suami mengerjakan haji tahun ini.

“Kita telah teliti permohonan yang diterima dan kebanyakannya merupakan permohonan saat akhir setelah urusan pemergian suami selesai enam bulan sebelum itu,” katanya.

 Namun begitu katanya, pihak TH tidak akan sewenangnya menolak setiap permohonan yang diterima tetapi akan mengkaji secara mendalam sebelum membuat keputusan termasuk berusaha membuat rayuan bagi penambahan kuota jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi.

Menurut Dato’ Abdul Azeez, penerbangan pertama jemaah haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan bermula pada 7 September ini dan diikuti penerbangan seterusnya.

“Sehingga ini terdapat 22,300 orang jemaah haji seluruh negara akan menunaikan ibadah haji tahun ini dan sudah pun mendapat kelulusan visa dari kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapat kelonggaran kelulusan visa bagi bakal jemaah haji dan umrah wanita yang berusia 45 tahun ke bawah.

Sultan Terengganu berangkat rasmi Kompleks Haji dan TH Hotel

 



Sultan Terenganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Kompleks Haji dan TH Hotel Terengganu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu hari ini.



Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke majlis berkenaan yang bermula pada jam 11 pagi.


Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahimi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji , Dato’ Paduka Ismee Ismail.

Sebaik selesai bertitah dan menekan gimik perasmian Sultan dan Sultanah Terengganu berkenan memotong riben di pintu lobi hotel dan seterusnya melawat bilik Presidential Suite’ (aras 6) dan bilik jemaah haji di aras lima.

Kompleks Haji dan TH Hotel ini dibangunkan di atas tanah seluas 3.08 hektar dengan kos pembinaan berjumlah RM77.6 juta.

Kompleks itu akan beroperasi sebagai ‘one-stop center’ melibatkan semua proses urusan haji bermula dari melapor diri, daftar masuk, pemeriksaan bagasi dan imigresen dapat dijalankan dengan lebih teratur.

Selain itu TH Hotel juga menyediakan kemudahan bilik penginapan untuk bakal jemaah haji yang datang dari jauh dan juga boleh digunakan sewaktu berlakunya kelewatan atau pindaan waktu penerbangan.

Kompleks haji ini bakal mengendalikan lima penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke tanah suci yang membabitkan 1,400 bakal jemaah haji pada musim ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...