TERKINI DI

Sunday, January 20, 2013

20 Januari 2013

KKM pendekkan waktu menunggu di klinik pesakit luar

Oleh; Esah Abdullah



Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha untuk memendekkan waktu menunggu di klinik pesakit luar kepada kurang 30 minit serta memastikan pesakit dapat menerima rawatan dengan segera.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Mohd Azhar Yahaya berkata, rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan selepas waktu pejabat di Kilinik 1Malaysia yang beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

“Malah terdapat juga beberapa Unit Pesakit Luar di hospital dan klinik kesihatan telah beroperasi pada waktu rehat bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran Kempen Amalan 3S (senyum,salam,sapa) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di Perpustakaan Awam Terengganu hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Anwa Sulaiman dan Timbalannya Dr. Mohamad Omar serta lebih 300 jururawat dan kakitangan hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.

Katanya, semua penambahabaikan ini bertujuan untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

“Keupayaan untuk menyambut cabaran ini pasti dapat meningkatkan mutu perkhidmatan yang disediakan dan meletakkan perkhidmatan penjagaan kesihatan negara ini sebagai antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Menurutnya, pegawai kanan setiap peringkat hendaklah main peranan untuk mencetus perubahan nilai dan minda di kalangan pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing kerana nilai murni dapat memupuk perasaan penyayang dan empati terhadap pesakit yang memerlukan perhatian.

“Pegawai penyelia bertanggungjawab untuk mengenalpasti pegawai dan anggota untuk mendapatkan latihan yang selayaknya bagi meningkatkan kemahiran dan profesionalisme mereka dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Mengenai kempen 3S ini katanya ia perlu diadakan berterusan dalam usaha membudayakan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

 “Mungkin mudah bagi kita mengamalkan senyum, salam dan sapa tapi bagi sesetengah warga kita yang terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah pelanggan pesakit atau waris pesakit, tetapi saya berharap itu bukan alasan untuk tidak amal 3S,” katanya.

Namun begitu katanya, khidmat mesra sepanjang masa merupakan ikrar warga jabatan kesihatan dan ia mampu memberi impak positif menyampaikan perkhidmatan dengan penuh sifat penyayang, perihatin dan timbang rasa.

20 Januari 2013

TNB sasar 500,000 pengguna e-servicies

Oleh; Esah Abdullah

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mensasarkan dapat menarik sehingga 500,000 pengguna mendaftar dengan perkhidmatan e-servicies sehingga akhir tahun ini.

Penolong Pengurus Besar (Pembangunan Perkhidmatan dan Pemasaran), Jabatan Perkhidmatan Pengguna & Pemasaran Bahagian Pembahagian TNB. Puan Noraini Shaarani berkata, setakat ini 380,000 pengguna telah mendaftar dengan e–servicies di seluruh negara.


Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program TNB Bersama Pelanggan TNB 2013 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) TNB Kuala Terengganu.

Katanya, melalui perkhidmatan itu pengguna boleh mendapatkan pelbagai maklumat TNB terutama mengenai bil pembayaran elektrik serta pembayaran terus dalam talian.

``Sebagai contoh jika pengguna mempunyai banyak premis yang disewakan, mereka boleh menyemak sama ada penyewa berkenaan telah menjelaskan bil atau sebaliknya,’’ katanya

Sehubungan itu, pihaknya kini dalam usaha meningkatkan promosi perkhidmatan yang menawarkan pelbagai kemudahan dalam talian kepada pengguna.

Tuesday, January 15, 2013

07 Jun 2012

Cantik bunga seenak isinya

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Esah Abdullah


Mungkin ramai yang tidak pernah melihat bunga serek serta tidak tahu tumbuhan jenis ubi ini hanya berbunga empat atau lima tahun sekali atau lebih lama daripada itu.

Mempunyai kombinasi warna yang menarik, bunga ini berukuran kira-kira 14 inci diameter dengan ketinggian 17 inci dari paras tanah serta tumbuh sendirian tanpa pokok.

Bunganya yang cantik dan unik ini mampu bertahan kira-kira seminggu serta tidak mengeluarkan bau ketika sedang mekar namun bila layu ia mengeluarkan bau tidak menyenangkan dan ada yang menyamakannya seperti bau ‘bangkai ’ .

Melalui proses lama untuk mengeluarkan untuk bunga serta kembang tumbuhan ini dilihat di luar kebiasaan pokok yang mampu mengeluarkan bunga dalam saiz agak besar manakala isinya boleh dimakan.



Pokoknya berbentuk seperti payung bewarna hijau lembut manakala isiinya boleh dimakan dengan cara merebus sepeti ubi keladi , ubi badak atau ubi kayu dan rasanya sangat enak serta boleh dibuat pengat serta digunakan sebagai campuran dalam bubur asyura.


Jika 40 tahun lalu ubi serek menjadi makanan harian serta penganti nasi namun kini ia semakin pupus dan generasi muda hari ini hanya kenal ubi kayu dan ubi keledek.



Pokok yang tumbuh melata di Kampung Bukit Wan tanpa penjagaan ini boleh hidup subur serta mampu bertahan dari generasi ke generasi dengan syarat isi yang digali sisanya perlu ditinggal serta ditimbus semula kedalam tanah.

15 Januari 2013

Penyampaian hadiah ADC Kebangsaan diadakan di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan 2012 dijangka diadakan di Terengganu pada 2 Februari depan.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka akan mengumumkan kampung yang berjaya menjadi johan dalam Pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan pada hari berkenaan.


Majlis diadakan di Dataran Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu itu dijangkakan dibanjiri 15,000 orang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negara dan masyarakat tempatan.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW), Dato’ Ibrahim Mohamad telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa induknya di kampung berkenaan baru-baru ini bagi membincangkan susun atur program serta memastikan ia berjalan lancar.

Hadir sama Ketua Pengarah Risda, Dato’ Haji Wan Mohammad Zuki; Setiausaha KPLBW, Encik Ahmad Zubir Abd. Ghani; Pengarah Risda negeri Haji Zakaria Mat Zin; Pengarah Kemas negeri, Puan Nor Hazelina Hashim dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Dato’ Ibrahim yang meninjau kawasan tapak majlis yang bakal berlangsung bulan depan itu berpuas hati dan dapat menampung kunjungan ribuan orang daripada seluruh negara.

Terdapat 13 buah kampung mewakili negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak terpilih menyertai Pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan 2012 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di mana penghakiman berakhir pada Oktober lalu.

Menurut Pengerusi Panel hakim, Encik Mohd Ali Sebran setiap kampung yang terpilih mewakili negeri ke pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan akan disenaraikan untuk menerima dana pembangunan di bawah program Desa Lestari yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentang bajet 2013.

 “Sama ada menang atau tidak kampung yang tersenarai ke pertandingan ini akan menerima dana berkenaan mengikut kesesuaian projek yang diperlukan masyarakat setempat,” katanya.

Lapan aspek yang dinilai untuk anugerah ini ialah ekonomi; pertanian dan penternakan ; teknologi maklumat (ICT); pendidikan; kebersihan dan kesihatan; keceriaan dan keindahan; kerohanian dan sivik serta kepimpinan.

13 Januari 2013

MPP UniSZA dapat sentuhan NC baru

Oleh; Esah Abdullah



Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima kenderaan khas MPV Nazaria untuk melancarkan perjalanan aktiviti.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Yahya Ibrahim berkata, aktiviti yang dijalankan MPP merupakan cerminan universiti tempat mereka menimba ilmu.

“Setiap program yang diadakan hendaklah bersifat nasional dan international dalam usaha mentransformasikan UniSZA menjadi universiti ulung di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu.

Prof Dr Yahya yang berpengalaman lebih tiga tahun sebagai Timbalan NC bahagian HEPA Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memulakan tugas baru sebagai NC di UniSZA mulai awal Januari lalu.

Sementara itu Presiden MPP UniSZA, Encik Mohammad Marzuqi Zainal Adlan, 24, berkata dengan adanya kenderaan khas mereka akan lebih pro aktif selepas ini.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer itu melahirkan rasa gembira kerana sebelum ini pergerakan mereka agak terbatas, terpaksa berkongsi kenderaan dengan bahagian lain serta menggunakan kenderaan sendiri untuk ke destinasi program.

 “Saya dan barisan Ahli Jawatankuasa (24 orang) MPP mengucapkan terima kasih kepada NC yang baru Prof Dr Yahya yang memahami tugas dan cabaran MPP yang membawa imej universiti pada setiap program yang dijalankan.

Katanya, tugas dan tanggung jawab MPP begitu besar dalam menjaga kebajikan pelajar serta nama baik universiti di mata umum.

Sunday, January 13, 2013

07 Oktober 2012

Desa cemerlang bila ketua bijak agih tugas

Oleh; Esah Abdullah



Penghakiman pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) berada dipenghujung apabila barisan panel hakim mengunjung negeri terakhir di Semenanjung Malaysia iaitu Terengganu dalam siri jelajah 13 buah negeri yang terpilih dalam Pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan, anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Pengerusi Panel Hakim, Encik Mohd Ali Sebran dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Terengganu merupakan negeri ke-11 yang dikunjunginya dan selepas ini akan ke Sabah dan Sarawak .

“Sebuah komuniti yang baik apabila ketuanya pandai mengagihkan tugas kepada setiap ahli jawatankuasa untuk bersama main peranan membangunkan kampung,”.

“Sebuah desa cemerlang juga apabila pemimpinnya berfungsi mencari sumber kekayaan baru untuk diterokai dan diagih kepada masyarakat untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya dalam ucapan aluan di majlis Penghakiman ADC Peringkat Kebangsaan di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

 Beliau yang dipertanggungjawabkan sebagai pengerusi panel hakim pertandingan ADC Kebangsaan sejak 2010 itu mengakui tertarik dengan susunan landskap yang cantik terdapat sepanjang jalan di Kampung Bukit Wan dan teruja kerana diberi kesempatan merasai naik kereta api berhias sambil menikmati keindahan kampung.

 “Saya ingin mengingatkan para hakim agar bersabar dan tidak terburu-buru untuk memberi markah kerana ada lapan aspek perlu dinilai,” katanya secara berseloroh. Lapan aspek yang dinilai untuk ADC ialah ekonomi; pertanian dan penternakan ; teknologi maklumat (ICT); pendidikan; kebersihan dan kesihatan; keceriaan dan keindahan; kerohanian dan sivik serta kepimpinan.

Katanya, setiap kampung yang terpilih mewakili negeri-negeri ke pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan akan disenaraikan untuk menerima dana pembangunan di bawah program Desa Lestari yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentang bajet 2013 baru-baru ini.

 “Sama ada menang atau kalah setiap kampung yang layak ke pertandingan ini akan menerima dana berkenaan mengikut kesesuaian projek yang diperlukan masyarakat setempat,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...