TERKINI DI

Tuesday, June 21, 2011

Parlimen Kuala Terengganu perkenal Program Raja sehari 1Malaysia 1Pasangan

Sepuluh pengantin bertuah akan dipilih menerima tajaan pakej perkahwinan melalui program My Idol Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan di mana majlis persandingan dirancang pada 17 September depan di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Program anjuran bersama Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu dan Agensi Pembangunan Masyarakat (APMT) Kuala Terengganu itu menjanjikan tajaan 99 peratus urusan perkahwinan mereka.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata semua urusan berkaitan perkahwinan pasangan berkenaan ditanggung sepenuhnya pihak penganjur.

“Ini termasuklah kos kenduri , pengedaran kad kahwin , pelamin, pakaian, mak andam, wang hantaran (anggaran RM5,000) serta pakej bulan madu bagi setiap pasangan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata, mengambil kira konsep Gagasan 1Malaysia, 10 pasangan yang terpilih terdiri dari lapan pengantin Melayu dan masing-masing satu pasangan pengantin Cina dan India, dengan fokus utama membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan masing-masing.

Menurutnya, pihak penganjur akan mengetengahkan tradisi perkahwinan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India sebagai asas penganjurannya selain memupuk semangat perpaduan dan kesepakatan kaum sesuai matlamat Gagasan 1Malaysia.

Penyertaan program itu terbuka kepada semua rakyat Terengganu berusia 21 tahun ke atas yang menetap dan mengundi di Parlimen Kuala Terengganu merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Batu Buruk, Wakaf Mempelam dan Bandar.

Bakal pengantin lelaki disyaratkan berpendapatan tidak melebihi RM1.500 sebulan dan mestilah perkahwinan kali pertama bagi pasangan berkenaan.

Bakal pengantin juga diminta menulis esei tidak melebihi 300 perkataan dengan tajuk ‘ kenapa saya layak dipilih’ di mana esei itu merupakan markah bonus kepada bakal pengantin yang akan dinilai oleh panel penilai pihak penganjur .

Kepada yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di Pejabat APMT Parlimen Kuala Terengganu dan Pejabat Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu sebelum 17 Julai depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan menjadi tetamu istimewa pada malam persandingan untuk menepung tawar 10 pengantin di atas pelamin kelak.

Monday, June 20, 2011

Fama wujud lima pasar tani tahun ini

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri akan mewujudkan lima lagi pasar tani tahun ini dalam usaha meluaskan pasaran hasil pertanian serta memberi peluang latihan kepada usahawan tani menjana pendapatan mereka.

Pengarah Fama negeri, Encik Hasan Jusoh berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan jualan pasar tani kepada RM22 juta bagi tahun ini, berbanding RM20 juta tahun lalu.

“Sasaran itu juga selari dengan penambahan bilangan usahawan pasar tani seramai 950 orang (2011) berbanding 689 orang tahun lalu ,” katanya..

Katanya, lima pasar tani yang dibuka tahun ini termasuklah di Chukai, Kemaman dan Pulau Serai, Dungun yang dibuka pada April lalu, Kuala Telemong dan Ajil, Hulu Terengganu (Jun) dan Pasar Tani Gong Badak, Kuala Terengganu dijangka September ini.

Katanya, nilai jualan keseluruhan yang terkumpul tahun lalu membabitkan 14 pasar tani seluruh negeri membabitkan tujuh di Besut, Kuala Terengganu (3), Hulu Terengganu (2) dan masing-masing sebuah di Kemaman dan Marang.

Selain itu katanya, keistimewaan pasar tani apabila hampir keseluruhan penjualnya terdiri daripada petani individu dan berkumpulan yang menjual hasil pertanian segar ataupun siap diproses.

“Hasil pertanian yang dijual juga lebih segar dan harganya berpatutan kerana sebahagian besar peserta mendapat bekalan terus dari ladang, selain aktiviti jualan pasar tani diserikan dengan pelbagai kegiatan berjadual seperti promosi barangan baru dan galakan pasaran produk pertanian,” katanya..

Sehubungan itu katanya, pasar tani juga memberi peluang kepada pengeluar desa menjual hasil keluaran secara lebih sempurna dan menarik dengan penekanan kepada konsep nilai tambah serta perkhidmatan yang lebih selesa.



Sunday, June 19, 2011

Kerajaan BN jaga kebajikan rakyat

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah amalkan negara kebajikan sejak sekian lama dengan melaksanakan pelbagai bentuk bantuan untuk golongan miskin di negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) merangkap Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, hasrat parti pembangkang untuk mewujudkan sebuah negara kebajikan sebenarnya sudah dilaksanakan oleh BN.

“Parti pembangkang hipokrit menidakkan apa yang telah diterima dan dinikmati dalam negara ini adalah hasil perjuangan UMNO,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua-ketua Cawangan UMNO seluruh negeri di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BPUNT, YB Yahya Khatib Mohammad, Setiausaha, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Penerangan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengarah Strategi BPUNT, Datuk Dr. Rosli Mat Hasan serta Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan undangan Negeri (Adun) seluruh negeri.

Katanya, kerajaan sudah beri macam-macam bantuan dalam bidang pendidikan, kesihatan, rumah, pertanian, subsidi minyak dan sebagainya.

“Semua pemberian ini adalah untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat jelata, meringankan beban mereka dan saya nak tanya apakah semua ini tidak termasuk dalam kategori kebajikan,” katanya di hadapan lebih 1,000 orang yang mewakili 1006 cawangan seluruh negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad seterusnya berharap agar ketua cawangan tidak terpengaruh dengan parti pembangkang yang hanya untuk memecahkan belahkan perpaduan kalangan masyarakat Melayu Islam di negara ini.

“Beri penjelasan kepada penduduk di bawah jagaan masing-masing bahawa kerajaan BN sudah lakukan segalanya untuk kebajikan rakyat di negeri ini,” katanya.

Perkemas jentera parti - MB

Semua Ketua-ketua UMNO cawangan seluruh negeri diminta bersiap sedia dari sekarang untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) merangkap Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, jentera parti perlu diperkemaskan dan semua ketua cawangan hendaklah bergerak seiring.

“Ahli-ahli di cawangan merupakan penentu kalah menangnya parti dalam setiap pilihanraya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua-ketua Cawangan UMNO seluruh negeri di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BPUNT, YB Yahya Khatib Mohammad; Setiausaha, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ketua Penerangan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Strategi BPUNT, Datuk Dr. Rosli Mat Hasan serta Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan undangan Negeri (Adun) seluruh negeri.

Katanya, ketua cawangan lebih dekat dengan pengundi di peringkat akar umbi dan amat arif dengan sikap dan gerak geri anak buah dalam kampung masing-masing.

“Saya yakin dengan kemampuan ketua cawangan yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk kampung dan rata-rata mereka terdiri daripada orang yang telah lama memegang jawatan berkenaan dan sudah masak dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad juga berharap semua yang sayangkan parti dapat bekerja dengan jujur dan ikhlas serta dapat beri maklumat tepat walaupun pahit untuk diterima dimana setiap kekurangan dan kesilapan akan diperbaiki secepat mungkin.

LPPKN adakan promosi saringan kesihatan

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu, akan mengadakan promosi perkhidmatan saringan kesihatan reproduktif percuma kepada orang ramai selama enam hari bermula 20 Jun ini.

Pengarah LPPKN Terengganu, Puan Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee berkata promosi ini diadakan di semua Klinik Nur Sejahtera seluruh negeri.

Katanya, pelbagai program menarik ditawarkan termasuklah perkhidmatan perancang keluarga bagi penerima baru dan ulangan untuk semua kaedah perancang kecuali implanon.

“Pemeriksaan lain termasuklah tekanan darah, Indeks Jisim Badan (BMI), ujian glukos dan kolestrol,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu katanya, LPPKN akan menyediakan pemeriksaan pap smear dan mengesan barah payudara serta pameran kesihatan.

Pihaknya juga laksana aktiviti kembara kaunseling dengan memberi peluang pengunjung mengambil ujian psikologi seperti ujian stress dan cara gaya keibubapaan yang dikendalikan Pegawai Psikologi LPPKN.

Katanya, bagi menggalakkan penyertaan orang ramai jabatan menyediakan ‘cenderahati’ istimewa kepada 50 orang pengunjung pertama dalam setiap program yang diadakan.

Katanya sepanjang masa promosi orang ramai boleh mengunjungi Klinik Nur Sejahtera yang terletak di Tingkat 1, Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu, Jalan Mok Mek, Jerteh dan Jalan Yahya Ahmad di Dungun.

Pulau Bidong lokasi skuba yang menarik

Eksplorasi Pulau Bidong yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) Kuala Lumpur telah membuka ruang kepada pecinta alam mendekati pulau itu.

Program anjuran bersama Tourism Malaysia itu disertai 60 wakil media dan penyelam skuba dalam usaha memperkenalkan pulau berkenaan sebagai lokasi skuba yang sangat berpotensi di negeri ini selain pulau lain yang sudah terkenal.

Pada program berkenaan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Tourism Malaysia telah memberi taklimat kepada peserta mengenai halatuju kawasan selam di sekitar Pulau Bidong dan pembangunan pakej hari selam yang diadakan.

Menurut YB Datuk Haji Abdul Rahin, Pulau Bidong merupakan sebuah destinasi warisan sejarah yang dahulunya digelar ‘Little Saigon’ penuh dengan kesan peninggalan penempatan ribuan pelarian Vietnam yang tinggal di situ.

“Pulau ini sangat sesuai bagi mereka yang ingin melihat lebih dekat kesan sejarah pelarian Vietnam di samping keindahan yang terdapat di sekitar pulau berkenaan.

Kira-kira 250,000 pelarian berada di kem-kem di pulau berkenaan sebelum ia di tutup pada 1991di mana pelarian ini telah dipindahkan ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis dan ada yang balik ke negara asal Vietnam.

Di samping menjalankan kativiti di pulau peserta program turut di bawa melawat beberapa tempat menarik di negeri ini seperti Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan Pasar Payang, Kuala Terengganu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...