TERKINI DI

Wednesday, March 30, 2011

Program Bescomm Tour erat perpaduan

Oleh: Esah Abdullah

Memupuk keakraban antara anggota masyarakat serta memberi pendedahan dan pengetahuan teknologi maklumat (ICT) antara objektif utama Program Bescomm Tour yang akan diadakan di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir minggu depan (8 April).

“Program anjuran bersama Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) dan Pusat Khidmat Masyarakat Seberang Takir itu akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman,” kata Pegawai Khas Exco Pelajaran, Encik Asri Zakaria.

Katanya, program yang dilaksana khusus kepada warga DUN Seberang Takir itu mensasarkan 500 dan pengunjung dan peserta sekaligus menyertai beberapa program pertandingan yang menguji minda peserta.

Antara aktiviti yang akan mewarnai program adalah pertandingan mewarna terbuka kepada 100 kanak-kanak dari Tabika Kemas, Tabika Perpaduan dan Pra Sekolah serta pertandingan mencipta slide untuk pelajar dari dua buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dalam DUN berkenaan.

Turut diadakan pertandingan T-Score yang terbuka kepada pelajar Tahun 5 dan 6 dan terbuka kepada 100 penyertaan dimana setiap peserta akan diberikan 30 soalan untuk dijawab disamping pertandingan menaip terbuka kepada mereka berusia 50 ke atas.

“Orang ramai khususnya warga Seberang Takir diminta hadir beramai-ramai untuk menajayakan program berkenaan dan setiap kehadiran berpeluang memenangi hadiah dlam cabutan bertuah yang disediakan pihak penganjur,” katanya.

Tuesday, March 29, 2011

E-Book satu kesinambungan

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Pelajaran memberi jaminan setiap murid yang menerima pemberian e-Book ini akan menggunapakai sebaik-baiknya serta mendapat manfaat daripada segala modul pembelajaran yang ada didalamnya.

“E-Book satu kesinambungan, Ibu bapa dan guru harus bersama-sama berganding bahu merialisasikan harsat kerajaan untuk mengangkat generasi pelajar berada dipuncak kejayaan,” kata Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.

Katanya, segala peralatan dan kelengkapan ICT di sediakan kerajaan manakala ibu bapa dan guru merupakan pendorong utama ke arah pelaksanaan program berkenaan.

“Saya sedar ada segelintir masyarakat bersikap negatif dan tidak mengambil serius malah menganggapnya suatu yang membazir apabila kerajaan perkenalkan e-Book kepada pelajar di negeri ini,” katanya di majlis Penyerahan e-Book di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang.

Tegasnya, selagi kita tidak menggunapakai segala kemudahan yang terdapat didalamnya selagi itulah e-book ini tidak akan memberi makna apa-apa kepada anak kita, kalau guna barulah bertemu kebaikannya.

“Saya bimbang jika penyakit ‘dengki hati’ ini terus menjadi barah sekali gus akan membawa kemusnahan dalam pembangunan pemikiran dan masa depan generasi pelajar,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan ibu bapa dan guru menjauhi penyakit sedemikian dan menggunakan akal fikiran secara rasional untuk keuntungan jangka panjang serta kepentingan generasi akan datang.

Penghayatan al-Quran untuk golongan muda

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan terus mengambil pendekatan untuk peningkatkan kefahaman dan penghayatan al-Quran di kalangan belia dalam usaha memertabatkan kitab suci itu di negeri ini.

Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Sheikh Harun Ismail berkata, usaha jabatan memberi pendedahan al-Quran di peringkat awal secara tidak langsung dapat mendatangkan kesan baik dalam proses pendidikan golongan muda ke arah melahirkan kecemerlangan ummah.

“Kecenderungan ibu bapa sekarang juga begitu terserlah , ingin melihat anak masing-masing menjadi hafaz dan menghayati al-Quran pada peringkat sekolah lagi,” katanya.

Katanya, JHEAT menerusi bidang kuasa kerajaan negeri akan mengadakan program penghayatan al-Quran secara lebih konsisten dan terus menyuburkannya dengan pelbagai kaedah demi kebaikan masyarakat seluruhnya.

“Dengan memahami isi al-Quran golongan belia dapat menjadikannya sebagai pegangan baik dalam proses kehidupan sejagat,” katanya.

Selain itu katanya, jabatan juga sentiasa bersedia menjadi guru terbaik dalam usaha kerajaan membentuk sahsiah remaja agar sentiasa mensyukuri nikmat pembangunan dan keamanan yang dikecapi hari ini.

Negara Brunei puji langkah kerajaan wujud kelas maya

Oleh; Esah Abdullah

Kelas Maya yang diperkenalkan kerajaan negeri telah mendapat perhatian dan pujian daripada beberapa agensi pendidikan dalam dan luar negara.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud berkata, kelas maya perintis yang mula beroperasi Februari lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga di Kuala Terengganu, dikunjungi pegawai dari Pejabat Pelajaran negeri-negeri di Semenanjung dan luar negara.

Setakat ini, katanya, kelas maya berkenaan telah menerima kedatangan pegawai dari Jabatan Pelajaran Johor, Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dan yang terbaru dari Kementerian Pelajaran Negara Brunei Darul Salam.

“Mereka datang untuk membuat kajian serta melihat sendiri kaedah belajar secara interaktif dan peperiksaan melalui talian serta impak kepada pelajar yang mengikuti kelas berkenaan,” katanya pada majlis Penyerahan e-Book Pelajar Tahun 5 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang, petang semalam.

Katanya, mereka tertarik dan memuji usaha kerajaan negeri yang begitu komited dalam usaha memberikan yang terbaik kepada rakyat khususnya dalam bidang pendidikan.

Beliau selaku orang yang bertanggungjawab dalam arah tuju pendidikan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang tidak pernah putus idea memberi tambah nilai dalam bidang pendidikan di negeri ini.

“Apabila wujudnya kelas maya ini hasil kerja termasuk jawapan dan markah boleh dilihat pada skrin sesentuh di hadapan kelas selain pelajar tidak boleh membuka aplikasi lain termasuk permainan komputer,” katanya

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa, guru dan pelajar perlu melihat usaha kerajaan ini dari sudut positif demi masa depan bangsa dan negara yang cemerlang dan gemilang.

Pada majlis itu, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said menyerahkan e-Book kepada 916 pelajar daripada 14 buah sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, Marang.

Monday, March 28, 2011

Jangan rosakkan pemikiran aset negara

Ibu bapa dan guru di negeri ini yang cenderung bermain politik diingatkan supaya jangan sekali-kali merosakkan pemikiran anak-anak serta pelajar kerana mereka merupakan aset negara.

“Kalau nak berpolitik boleh tapi jangan rosakkan masa depan mereka,” kata Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said ketika berucap di majlis Penyerahan e-Book kepada Murid Tahun 5, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, YB Yahya Khatib Mohamad; Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud dan Pegawai Daerah Marang, Haji A. Rahman Che Ali.

Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bidang pendidikan melebih peruntukan pembangunan lain semata-mata ingin melihat generasi baru mendapat kemudahan dan peluang belajar terbaik demi masa depan diri, keluarga dan negara.

“Mereka jadi penganti kepada barisan kepimpinan hari ini dan bekal paling berharga adalah ilmu pengetahuan dunia dan akhirat agar sentiasa bersedia mental dan fizikal berhadapan cabaran dunia global,”katanya.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan mempunyai wawasan untuk melihat rakyatnya berjaya, pembangunan modal insan menjadi agenda utama dan usaha merubah lanskap ekonomi masyarakat diberi perhatian serius.

Menteri Besar kemudiannya menyerahkan 916 unit e-Book kepada 916 pelajar Tahun 5 daripada 14 buah SK dalam DUN Pengkalan Berangan.

Sekolah berkenaan termasuklah Sk Jambu Bongkok (45 orang), SK Pasir Putih (37), SK Gong Balai (67), SK Mercang (109), SJK (C) Chong Hwa (30), SK Jenang (17), SK Jerong (62), SK Padang Mengkuang (133), SK Gondang (39), SK Wakaf Tapai (72), SK Bukit Sawa (153), SK Bukit Jejulong (65), SK Pengkalan Berangan (62) dan SK Kubu (25).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...